Rangkaian penyerang yang dikenali sebagai ‘BBC’ itu amat produktif ketika kali terakhir menentang Bayern dalam saingan Liga Juara-juara di Allianz Arena pada 29 April 2014 apabila membelasah tuan rumah 4-0 dalam separuh akhir kedua.

Ironinya, skuad Los Blancos ketika itu dibimbing oleh Carlo Ancelotti, jurulatih kelahiran Itali yang kini dipertanggungjawabkan untuk membawa Bayern mengalahkan Real.

Akhir-akhir ini, gandingan pemain termahal Bale, Benzema dan Cristiano sering dikritik media Sepanyol kerana gagal me­nunjukkan aksi meyakinkan, namun apa yang menariknya Real mempunyai sokongan daripada bahagian lain untuk mendapatkan gol, termasuk menerusi bek tengah yang juga kapten Sergio Ramos.

Pemain sayap Wales, Bale menjangkakan pertembungan dua kelab yang kaya dengan sejarah itu akan berlangsung seimbang dan kemenangan akan berpihak kepada pasukan yang mampu memanfaatkan peluang serta mengurangkan kesilapan di bahagian pertahanan.

“Menentang Ba­yern dalam suku akhir adalah pertemuan yang sukar, tetapi kami tidak gentar bertemu sesiapa pun. Pada peringkat ini, anda sedar lawan yang akan ditentang pastinya pasukan terbaik di Eropah dan anda kena bersedia untuk me­ngalahkan mereka,” katanya.

Namun Bale, 28, masih mencari rentak sejak kembali daripada berehat tiga bulan akibat kecedera­an manakala prestasi Benzema dalam saingan domestik jauh daripada meyakinkan, sekali gus meletakkan Ronaldo yang telah menjaringkan 19 gol musim ini sebagai sandaran utama untuk membolosi gawang walaupun jumlah jaringan masih rendah dibandingkan musim-musim sebelumnya.

Kecederaan dua tonggak pertahanan Pepe dan Raphael Va­rane turut meresahkan Real menjelang kunjungan ke Munich, namun tuan rumah juga berdepan masalah tersendiri apabila kehilangan bek tengah Mats Hummels akibat masalah buku lali.

Penjaring terba­nyak mereka Robert Lewandowski belum pasti beraksi selepas diketepikan ketika Bayern menumpaskan Borussia Dortmund 4-1 dalam aksi Bundesliga Sabtu lalu akibat kecedera­an bahu, malah terlepas sesi latihan semalam, namun penjaga gol terbaik dunia Manuel Neuer kembali menyertai latihan selepas menjalani pembedahan kecil di kaki kiri pada 29 Mac lalu.

Penyerang Jerman, Thomas Mueller yang turut diketepikan dalam pertemuan menentang Dortmund sudah menjalani latihan penuh dan menyifatkan situ­asinya ketika ini dalam keada­an baik. – AGENSI