Pelantikan tersebut dipersetujui 57 ahli gabungan PBSNT selepas mereka sebulat suara meminda perlembagaan badan induk bola sepak negeri berhubung pelantikan presiden dalam Kongres Luar Biasa (EGM) yang diadakan di sini petang tadi.

Perkembangan itu turut menyaksikan, bekas Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman sah melepaskan jawatannya selaku Presiden.

Ahmad Razif berkata, pindaan terhadap Artikel 33 dan 39 dalam perlembagaan memperuntukkan jawatan presiden badan induk bola sepak negeri kini dikhususkan kepada Menteri Besar.

Katanya, pindaan tersebut juga memberi kuasa kepada Presiden PBSNT untuk melantik Timbalan Presiden I.

“Ia bertujuan untuk memberi kekuatan kepada persatuan bola sepak ini bagi meneruskan kecemerlangan yang sedang dicapai dalam kancah bola sepak tempatan,” katanya kepada pemberita dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan EGM PBSNT.

Sebelum ini pemilihan semua jawatan tertinggi PBSNT termasuk presiden adalah terbuka dan dilakukan secara pengundian oleh ahli gabungan pada mesyuarat agung tahunan AGM yang diadakan selang empat tahun.

Pada Disember 2016, Ahmad Razif menang tanpa bertanding jawatan Presiden dalam EGM PBSNT bagi penggal 2017 hingga 2020 menggantikan bekas Presiden terdahulu, Datuk Wan Ahmad Nizam Wan Abdul Hamid yang melepaskan jawatan.

Manakala Timbalan Presiden I PBSNT, Datuk Wan Nawawi Wan Ismail yang juga bekas Setiuasaha Kerajaan Negeri pula melepaskan jawatan pada 15 Mei lalu.

Dalam pada itu, Ahmad Razif berharap kepimpinan baharu PBSNT dapat meneruskan program transformasi bola sepak negeri yang sedang berjalan menerusi sistem pasukan pelapis, Terengganu Football Club (TFC).

Katanya, sistem pasukan pelapis telah mula menunjukkan hasil terutama melibatkan TFC III dan TFC 4 yang kini berada di tangga teratas dalam liga masing-masing.- UTUSAN ONLINE