Parut yang ditinggalkan akibat serangan bom ke atas bas pasukan minggu lalu masih menghantui pemain Dortmund, yang turut dikejutkan dengan kekalahan 2-3 kepada Monaco.

Bartra yang patah pergelangan tangan akibat serangan tersebut sudah boleh melupakan perlawanan esok (pukul 2.35 pagi Khamis waktu Malaysia).

Kedudukan Reus, yang me­ngalami kecede­raan paha dan dikeluarkan dalam perlawanan Bundesliga menentang Eintracht Frankfurt, Sabtu lalu pula membimbangkan jurulatih, Thomas Tuchel.

“Keputusan Sabtu lalu (mengeluarkan Reus) hanya langkah berjaga-jaga. Kita masih pantau keadaannya supaya tidak bertambah serius,” kata Tuchel.

Sementara itu, penjaga gol Dortmund, Roman Burki mengakui, dia masih dihantui serangan tersebut, apatah lagi sehingga kini belum ada tangkapan dilakukan atau pihak yang didakwa.

“Saya bangun setiap malam. Tanpa sebarang sebab, saya dikejutkan dan terjaga dalam ketakutan.

“Kemudian saya sambung tidur dan lega apabila mendapati saya sebenarnya berada di rumah dan di atas katil sendiri,” katanya.

Burki dalam temu bual dengan akhbar Swiss Der Bund membe­ritahu, dia masih terngiang-ngiang bunyi dentuman kuat yang sangat menakutkan.

“Dentuman itu membuatkan kepala kami beralih ke satu tempat. Kemudian kami semua terdiam panjang, sebelum menangis selepas melihat Bartra,” ceritanya lagi.

Burki berkata, dia tidak faham mengapa pasukan bola sepak menjadi sasaran ‘serangan keganasan’.

Dortmund mendapat bantuan daripada pakar psikologi untuk menghadapi perlawanan menentang Monaco dan masih menggunakan khidmat mereka apabila bertandang ke Perancis.

Pemain tengah Dortmund, Sven Bender pula mengakui, pertemuan dengan Monaco kali ini jauh lebih sukar berbanding suku akhir pertama kerana mereka bukan sahaja masih dibelenggu ketakutan, malah perlu bangkit daripada kekalahan.

“Ia sangat sukar kerana kami tidak boleh terlalu memikirkan tendang insiden buruk yang berlaku, sebaliknya kena fikir bagaimana hendak memenangi perlawanan ini,” ujarnya.

Tuchel pula percaya, perlawanan pertama menentang Monaco tidak sepatutnya diteruskan.

Biarpun ia ditangguhkan selama 24 jam sebelum disambung, namun meneruskan saingan pada keesokan hari bukan idea bijak.

“Ia sepatutnya disambung selepas dua atau tiga hari. Bagi pemain, semua ini tidak mudah.

“Apa pun sekarang, kami kena fokus kepada pertemuan kedua menentang Monaco. Tugasan kami adalah mengembalikan ‘mood’ selepas kekalahan tempoh hari dan percaya kepada diri sendiri,” ujarnya. – AFP