Dominic tidak diturunkan ketika menghadapi kelayakan Kejuaraan AFC pada Julai lalu dan Sukan SEA 2017 diberikan peluang oleh Datuk Ong Kim Swee untuk membuat penampilan bersama skuad B-23 negara dalam Kejuaraan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) (B-23).

Pada mulanya ketika saya tidak diturunkan untuk aksi kelayakan dan Sukan SEA 2017 memang saya berasa sedih tetapi saya tidak berputus asa untuk cuba mendapatkan tempat dalam kesebelasan utama pasukan.

"Saya amat berbangga apabila diberikan peluang untuk bermain dalam kesebelasan utama pasukan dan saya tahu ini adalah peluang terbaik. Saya sudah lama tidak beraksi 90 minit dan saya masih cuba untuk membiasakan diri dengan kejohanan seperti ini.

"Beraksi di peringkat antarabangsa memang berbeza," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Dalam pada itu, Dominic memberitahu keadaan pasukannya ketika ini berada di tahap terbaik terutamanya daripada segi tahap keyakinan dan motivasi.

Orang tidak jangka kami dapat mara ke suku akhir dan kami perlu bekerja keras dan tunjukkan apa yang kami boleh lakukan dalam aksi suku akhir nanti.

Malaysia menentang Korea Selatan dalam aksi suku akhir Kejuaraan AFC B-23 di Stadium Kunshan, Sabtu ini. - UTUSAN ONLINE