Dollah berkata, beliau kecewa dengan keputusan seri itu kerana anak buahnya gagal memanfaatkan kelebihan beraksi di laman sendiri sekali gus menyekat misi awal menempah slot suku akhir piala berprestij itu.

Menurutnya, dapat dilihat dalam tiga perlawanan sebelum ini, begitu sukar buat pasukan itu untuk mencatat kemenangan dengan jaringan melebihi dua gol.

“Jika dilihat rekod terdahulu di laman sendiri, kita mampu untuk menjaringkan lebih daripada dua gol tetapi segala-galanya berubah disebabkan penyudah tumpul.

“Ketiadaan Patrick Cruz begitu dirasai pasukan untuk mengetuai jentera hadapan dan berharap dia cepat pulih daripada kecederaan untuk beraksi dalam baki dua perlawanan bertemu Selangor dan Sabah nanti,” katanya kepada psmberita di sini semalam.

Dollah bagaimanapun memuji bahagian pertahanan skuad itu kerana mempamerkan aksi terbaik ketika bertemu PKNP.

Sementara itu, jurulatih PKNP, Abu Bakar Fadzim berkata, misi wajib menang baki dua perlawanan menjadi fokus utama PKNP selepas hanya meraih empat mata daripada empat perlawanan.

“Biarpun peluang itu agak tipis, tiada yang mustahil merealisasikannya untuk mengisi slot suku akhir piala berprestij itu.

“Bagi saya masih ada ruang buat PKNP layak ke suku akhir dengan menjadikan perlawanan dengan Sabah berakhir dengan kemenangan sebelum menamatkan aksi terakhir bertemu Selangor,” katanya. - UTUSAN ONLINE