Penyerang Pulau Pinang itu pada masa sama mengakui, dia sedia menerima sebarang keputusan yang akan diumum Isnin ini (awal pagi Selasa waktu Malaysia).

Katanya, tersenarai sebagai tiga calon akhir sudah pencapaian terbaik sepanjang kariernya dan akan positif terhadap sebarang kemungkinan.

“Kalau ada rezeki, Insya-Allah boleh menang, sama-sama kita berdoa, " katanya ketika ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP) di sini hari ini.

Yang turut hadir, bapanya, Subri Kader; ibunya, Sadiah Ishak, ahli keluarga, lebih 50 penyokong pasukan Haria Penang Haria serta pengurusan ter­tinggi Persatuan Bola Sepak Pulau Pinang (FAP).

Faiz yang pernah menyertai latihan skuad kebangsaan akan bersaing dengan dua calon akhir lain bagi anugerah itu iaitu Marlone dari Brazil dan wakil tunggal wanita, Daniuska Rodriguez.

Sementara itu, ditanya sama ada dia akan memakai baju Me­layu, pemain kelahiran Air Itam, Kedah itu berkata, dia membawa baju kebangsaan namun turut bersedia dengan sut formal.

“Ini kerana saya dimaklumkan bahawa cuaca di Zurich ketika ini sangat sejuk iaitu di bawah paras beku. Sampai di sana nanti, terpulang kepada keadaan," katanya lagi.

Sementara itu, isteri Faiz , Nur Zawanis Hashim,30, berkata, dia berasa teruja kerana ini merupakan kali pertama menemani suaminya ke luar negara berkaitan urusan bola sepak dan berharap ada rezeki untuk menang.

"Saya bagaimanapun hanya akan menonton majlis Anugerah FIFA dalam bilik hotel kerana kena menjaga dua anak kami, Akif Fayyad dan Aqil Zayyan," katanya.

Faiz, 29, akan berlepas ke Zurich dari Sepang esok.