Jika maklumat yang diterima daripada sum­ber yang mengetahui mengenai perjanjian jual beli itu adalah benar, maka nilai itu menjadikan Ghaddar sebagai pemain termahal dalam sejarah bola sepak Malaysia.

Penyerang yang telah menja­ringkan 18 gol dalam 12 perlawanan Liga Super itu akan menyertai juara Liga Super tiga kali berturut-turut JDT apabila urusan mengenai bayaran diselesaikan ketika tempoh perpindahan pertengahan musim, yang bermula semalam.

Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) enggan mendedahkan angka yang dipersetujui untuk menjual Ghaddar, namun me­ngakui harga yang diletakkan adalah satu rekod baharu dalam sejarah bola sepak tempatan.

“Setelah proses rundingan dilakukan dengan menerima tawaran sebanyak tiga kali daripada JDT maka kami terima untuk melepaskan Ghaddar.

“Yuran perpindahan tidak akan didedahkan tetapi bagi Ka­fa, dalam sejarah Liga Malaysia (Liga M) tiada bayaran setinggi ini,” kata Naib Presiden Kafa, Datuk Muhammad Nasir Hamzah kepada pemberita dalam sidang akhbar di Shah Alam, hari ini.

Setiausaha Kafa, Datuk Ismail Md. Noor baru-baru ini memberitahu, mereka sedia melepaskan Ghaddar jika ada pasukan yang sanggup membayar sekurang-kurangnya RM2 juta un­tuk penyerang dari Le­banon itu.

Utusan Malaysia hari ini pula melaporkan, pe­main berusia 33 tahun itu mungkin menja­di pe­nerima gaji paling tinggi dalam sejarah bola sepak tempatan iaitu antara RM170,00 hingga RM200,000 sebulan sekiranya menyertai skuad Harimau Selatan.

Kata Nasir lagi, Ghaddar hanya akan menyertai JDT secara rasmi berkuat kuasa selepas bayaran perpindahan dijelaskan.

Dalam pada itu, walaupun se-ring dihantui dengan krisis kewangan, Nasir menegaskan faktor utama Ghaddar berhijrah ke JDT bukan disebabkan tawaran yang diterima tetapi pemain itu sudah tidak mempunyai minat untuk bersama TRW.

“Sebenarnya masalah kewa­ngan memang sudah wujud dalam Kafa sejak dahulu lagi tetapi kami masih kekal dalam Liga M dan antara pencabar yang disegani. Bukan soal duit yang menjadi pertimbangan kami untuk melepaskan Ghaddar.

“Bagaimanapun jika dilihat kepada status Ghaddar di Facebook dan Instagram, memang dia sudah tidak berminat lagi untuk bermain dengan Kelantan. Saya fikir, kalau nak membantu, duit tidak pernah cukup sebenarnya. Kalau beri RM10 juta lagi pun belum tentu.

“Perlu diingatkan, lepaskan Ghaddar, kami masih kena cari pengganti kalau mahu bersaing dalam Liga Super sekarang sebab ketika ini kedudukan kami memuaskan. Kami juga telah mempunyai beberapa calon untuk menggantikan Ghaddar,” kata­nya.

Sementara itu, ditanya sama ada terdapat sebarang perjanjian tambahan antara Kafa dan JDT, beliau berkata perkara itu tidak timbul, malah Kafa memberi kebebasan kepada JDT untuk menurunkan Ghaddar jika menentang Kelantan dalam baki perlawanan Liga Super dan Piala Malaysia.

JDT sebelum ini meletakkan perjanjian melibatkan beberapa pemainnya yang berpindah ke pasukan lain di mana mereka tidak boleh diturunkan menentang JDT kerana telah memberi ‘diskaun’ ke atas yuran perpindahan.

Ghaddar memenangi trofi per­tamanya di negara ini apabila membantu Kelantan muncul juara Piala FA untuk kali pertama pada 2012 apabila menjaringkan gol tunggal perlawanan akhir menentang Sime Darby FC. Tahun itu adalah musim pertamanya beraksi dalam Liga Malaysia dan selepas itu menyertai Kelantan dua kali lagi iaitu pada 2014 dan tahun ini.