Selain Dier, pengendali Three Lions, Gareth Southgate juga dijangka menggunakan Gary Cahill, Phil Jones, Danny Welbeck serta pertahanan muda Liverpool, Trent Alexander-Arnold.

Southgate yang mahu merehatkan beberapa tonggak bagi memberi tumpuan kepada aksi peringkat kalah mati, bagaimanapun dijangka tetap menurunkan penyerang utamanya yang juga ketua pasukan, Harry Kane.

Kane yang mendahului senarai penjaring terbanyak Piala Dunia dengan lima gol setakat ini meminta untuk diturunkan dalam perlawanan itu bagi membolehkannya menambah jumlah gol.

Ditanya mengenai Kane, Southgate berkata: “Sebagai pengurus, perkara pertama yang menjadi keutamaan saya adalah keseluruhan pasukan dan kemudian, barulah fikir pandangan individu atau mempertimbangkan situasi pemain itu sendiri.

“Dia (Kane) menjaringkan gol buat kami dalam setiap perlawanan, ia sesuatu yang hebat. Dia membuktikan nilainya kepada pasukan sebelum dan ketika kejohanan.

“Saya tahu, dia sudah boleh berbangga dengan pencapaiannya setakat ini, tetapi dia masih di belakang Gary Lineker (penjaring terbanyak England dalam Piala Dunia, 10 gol) dan ia tentu sesuatu yang bagus buatnya jika dapat mengatasi rekod itu

“Bagaimanapun apa yang lebih penting, dia adalah kapten, jadi kehadirannya amat penting dalam setiap perlawanan”. - AGENSI