Biarpun pengendali Harimau Malaya, Nelo Vingada merombak hampir keseluruhan barisan kesebelasan utama yang diturunkan dia semasa aksi pertama namun skrip yang sama berulang kembali.

Anak-anak buah Vingada yang kalah 1-4 dalam aksi pertama, Jumaat lalu dikejutkan 2-0 dalam tempoh lima minit selepas Kim Yu Song meletakkan Korea Utara di depan pada minit ke-15, sebelum menggandakan kedudukan pada minit ke-20.

Minit ke-44 menyaksikan Yu Song melengkapkan hatriknya dalam perlawanan itu apabila mudah membolosi gawang yang dikawal Hafizul Hakim Khairul Nizam Jothy.

Pak Kwan Ryong kemudian meledak jaringan keempat Korea Utara pada minit ke-79 dan pada minit ke-85 Malaysia meraih gol saguhati menerusi Safawi Rasid.

Kekalahan itu menyaksikan pintu ke pusingan akhir Piala Asia 2019 tertutup rapat buat Malaysia yang bakal mengakhiri saingan peringkat kumpulan B menentang Lebanon pada Mac 2018.-UTUSAN ONLINE