Dengan Edinson Cavani dan Neymar sudah disahkan tidak cergas, bintang Argentina yang akan mencapai usia 31 tahun itu kini diletakkan harapan besar untuk sekurang-kurangnya meraih bekalan selesa buat pasukannya pada aksi pertama timbal balik ini.

Di Maria yang gagal menyerlah di United selepas dibeli dengan harga 60 juta pound pada 2014 dijangka akan berpasangan dengan Kylian Mbappe untuk merobek gawang tuan rumah menggunakan pengalaman yang ada padanya.

“Saya hanya setahun di United. Ia bukan tempoh terbaik dalam karier saya atau mungkin mereka sengaja tidak mahu saya menikmati yang terbaik di sana. Syukur saya dapat ke PSG dan menjadi diri saya sendiri,” katanya.

Sehubungan itu, ia adalah peluang terbaik buat di Maria untuk membuktikan keputusan United menjualnya kepada PSG dengan harga 44.3 juta pound ketika itu adalah satu kesilapan.

“Dia salah seorang daripada pemain kegemaran saya apabila melihat aksinya dalam televisyen,” kata jurulatih PSG, Thomas Tuchel ketika memulakan kempen awal musim ini untuk menunjukkan Di Maria adalah sepenting Mbappe, Neymar dan Edinson Cavani.

“Dia merupakan anugerah kepada saya. Segalanya mudah berurusan dengannya kerana dia pemain yang cukup profesional. Dia memiliki kualiti luar biasa dan sentiasa bekerja keras untuk pasukan,” tambah Tuchel yang gemar menggunakan Di Maria sebagai pemain sayap atau tengah.- AFP