Keadaan ini berlawanan dengan apa yang dijanjikan oleh pengurus skuad Tok Gajah, Datuk Mohammed Suffian Awang yang sebelum ini berkata pasukan itu tidak mempunyai halangan untuk Sumareh dan dua lagi pemain Pahang untuk mewakili negara. Walau bagaimanapun penyerang veteran Norshahrul Idlan Talaha dan pemain pertahanan Matthew Davies telah mendaftar masuk kem bersama-sama 21 pemain lain.

Mengulas mengenai perkara itu pengendali skuad Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe berharap Pahang akan melepaskan pemain naturalisasi berusia 27 tahun itu menyertai kem latihan pusat pasukan negara bermula hari ini.

Beliau berkata, ketika ini Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) sedang berusaha untuk mendapatkan pelepasan Sumareh daripada Pahang.

“Kami berharap, Pahang memberi kelulusan dan selepas beliau hadir dalam kem ini barulah kita dapat mengujinya dan berharap Sumareh dapat mempamerkan aksi terbaik selain menyesuaikan diri dengan corak permainan.

“Setakat ini dalam perancangan kita berkemungkinan dia akan bermain di posisi asalnya (sayap kanan) tetapi kita kena tunggu Sumareh lapor diri,” katanya.

Skuad negara akan berlatih selama tiga hari di Melaka sebelum berlepas ke Colombo pada Rabu untuk menentang Sri Lanka dalam perlawanan persahabatan pada 12 Oktober. - UTUSAN ONLINE