Kane antara lapan pemain yang direhatkan jurulatih, Gareth Southgate dalam perlawanan terakhir Kumpulan G menentang Belgium, Jumaat lalu biarpun meledak lima gol setakat ini.

Penyerang Tottenham itu bakal kembali menentang Colombia, dan berharap dapat terus meledak untuk membantu Three Lions ke suku akhir.

“Ini adalah detik kebenaran. Colombia adalah pasukan yang kuat dan memiliki ramai pemain hebat tetapi kami sudah bersedia.

“Selama beberapa jam ini, kami sudah berlatih dan bekerja keras mencuba beberapa teknik serta taktik untuk menghadapi perlawanan ini.

“Sudah tentu, semua itu akan diuji tetapi yang penting, tekanan juga jauh lebih hebat, jadi semua orang harus bertenang, kuatkan mental dan nikmati perlawanan,” kata Kane.

England juga cuba mengelak perlawanan daripada berakhir dengan keputusan seri kerana mereka sering bernasib malang dalam situasi itu.

Tiada negara yang memiliki rekod seburuk England dalam penentuan sepakan penalti kerana mereka kalah dalam semua situasi tersebut menentang Jerman Barat (1990), Argentina (1998) dan Portugal pada 2006.

England juga tewas tiga daripada empat penentuan penalti pada Kejohanan Eropah.

Menyedari situasi itu, Southgate awal-awal lagi sudah menyiapkan lima pemain yang bakal mengambil sepakan andai aksi di Stadium Spartak terikat.

Menurut Daily Mirror, Kane akan mengambil sepakan diikuti Kieran Trippier, Jordan Henderson, Jamie Vardy serta Dele Alli.

Sementara itu, Colombia yang dijangka beraksi tanpa bintang tengah, James Rodriguez akibat kecederaan terdesak untuk membuktikan mereka bukan sekadar pelengkap.

Jika skuad Los Cafeteros kehilangan Rodriguez, itu bermakna beban tambahan akan dipikul Juan Cuadrado dan Juan Quintero.

Begitupun pemain tengah, Carlos Sanchez menegaskan, bola sepak bukan sukan individu.

“Piala Dunia kali ini telah menjelaskan satu perkara, tidak semua pemain berstatus bintang mampu membawa perbezaan.

“Kita telah melihat beberapa pasukan yang memiliki ramai pemain kelas dunia tersingkir. Pada akhirnya, ia tentang beraksi sebagai satu unit,” katanya.

Jika England mempertaruhkan Kane untuk membolosi gawang lawan, Colombia pula akan meletakkan rakan sepasukan Kane di Tottenham, Davinson Sanchez bagi mengawal pemain itu di bek tengah.

“Davinson adalah pemain yang hebat dan rakan yang baik. Memang sukar untuk tidak memberi sokongan kepadanya atas dasar persahabatan tetapi di atas padang saya harap Harry akan menewaskannya,” kata Alli. – AGENSI