Pihak pengurusan pasukan terpaksa melakukan perkara itu kerana berlaku pertikaian mengenai kontrak dengan persatuan bola sepak Denmark.

Pasukan bidan terjun Denmark, yang diketuai penyerang kelab divisyen tiga Christian Offenberg, kalah 3-0 di Trnava tanpa kehadiran Christian Eriksen dan Kasper Schmeichel yang menerajui negara mereka mara ke pusingan 16 terakhir dalam Piala Dunia di Rusia.

Denmark akan menentang Wales pada Ahad ini untuk perlawanan pertamanya dalam Liga Negara UEFA yang baharu diperkenalkan.

Mereka mungkin terpaksa me­nyandarkan harapan kepada pemain yang sama kecuali jika persengketaan antara persatuan pemain Denmark dengan persekutuan kebangsaan mengenai hak komersial diselesaikan.

Jurulatih Age Hareide telah digantikan untuk dua perlawanan itu, de­ngan pemenang Euro 92 John Jensen sebagai pembimbing sementara.

“Kami mesti bermain dalam dua perlawanan itu untuk mengelak daripada didenda berjuta euro dan kemungkinan pasukan kebangsaan digantung selama beberapa tahun.

“Sebagai mewakili DBU dan bola sepak Denmark, saya berbesar hati kerana John Jensen telah mengambil tanggungjawab berat untuk menjadi jurulatih bagi kedua-dua perlawanan itu,” kata Pengarah Persatuan Bola Sepak Denmark (DBU), Kim Hallberg.

Pada 2017, pasukan wanita Denmark memboikot pusingan kelayakan Piala Dunia menentang Sweden atas sebab pertikaian mengenai gaji, menyebabkan Denmark berisiko digantung oleh Persekutuan Bola Sepak Eropah (UEFA) jika mereka memba­talkan satu lagi perlawanan. – AFP