Ketua Pegawai Eksekutif Football Malaysia Limited Liability Part­nership (FMLLP) itu berkata, hukuman dan denda ke atas pasukan terlibat dibuat dengan merujuk kepada klausa 43 iaitu pematuhan peraturan yang terkandung bahawa apa-apa tindakan yang ditentukan oleh FMLLP dan dibenarkan oleh kongres atau ahli lembaga pengarah FMLLP.

FMLLP merupakan badan pentadbir Liga-M.

“Semua pasukan mengetahui peraturan tersebut, sudah ada peraturan yang memboleh­kan Lembaga Pengarah FMLLP mengambil tindakan sedemikian dan ini mengikut peraturan, bukan sesuka hati mengenakan de­n­da dan hukuman.

“Memang benar tidak tertulis jumlah denda dikenakan seba­nyak RM1.5 juta tetapi dalam klausa itu tertulis Lembaga Pengarah mempunyai kuasa untuk membuat keputusan dan mengambil tindakan.

“Saya juga suka mengingatkan bahawa jumlah imbuhan yang kita berikan kepada pasukan-pasukan adalah lebih besar daripada tahun-tahun sebelum ini. Misalnya pasukan Liga Super mendapat insentif sebanyak RM3 juta, bukan RM1 juta (seperti sebelumnya) dan pasukan Liga Perdana mendapat RM1 juta berbanding RM500,000 tahun lalu.

“Apa yang Lembaga Pengarah FMLLP putuskan adalah seiring dengan imbuhan besar diberikan supaya mereka faham dan tidak mengambil ringan peraturan-peraturan yang telah ditetapkan,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Kevin merujuk kepada rungutan sepuluh pasukan yang dikenakan denda keseluruhan berjumlah RM9 juta kerana gagal melengkapkan atau lewat menghantar dokumen pendaftaran untuk menyertai Liga-M musim ini.

Empat pasukan Liga Super iaitu Kelantan, Kuala Lumpur, Selangor dan PKNS FC masing-masing dikenakan denda RM1.5 juta.

Enam pasukan Liga Perdana terdiri daripada Sarawak, Pulau Pinang, Kuantan FA, PDRM, Majlis Sukan India Malaysia-Persatuan Bola Sepak India Malaysia (MISC-MIFA) dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) FC pula masing-masing perlu membayar denda sebanyak RM500,000.

Kelantan, Kuala Lumpur, Sa­rawak, Pulau Pinang, Kuantan dan PDRM didendak kerana gagal melengkapkan dokumen, manakala Selangor, PKNS, MISC-MIFA dan UKM FC pula menghantar dokumen pendaftaran selepas tarikh akhir pada 3 Februari lalu.

Denda itu boleh dikurangkan berdasarkan rayuan dalam tempoh 14 hari daripada tarikh surat dikeluarkan kepada pasukan tersebut.

Selain denda kewangan, pasukan terbabit turut dikenakan pemotongan tiga hingga enam mata namun hukuman itu ditangguhkan hingga 31 Disember ini bagi memberi peluang kedua.

Kevin menjelaskan, pasukan yang gagal menghantar dokumen pada masa ditetapkan berdepan hukuman pemotongan enam ma­ta, pasukan lewat menghantar dokumen pula tiga mata.

“Buat masa ini hanya tiga pasukan yang telah menghantar surat rayuan iaitu Selangor, Mifa dan UKM,” ujarnya.