Kemenangan menjadi buruan Belgium di Stadium Spartak dekat Moscow, dalam usaha mereka mengelak perlawanan terakhir peringkat kumpulan menentang England pada 28 Jun ini sebagai aksi penentuan untuk meneruskan kemaraan.

Belgium membuka aksi mereka pada Piala Dunia di Rusia menerusi kemenangan 3-0 ke atas Panama, Isnin lalu, hasil jaringan Romelu Lukaku yang meledakkan dua gol, tetapi Hazard dikawal ketat dan kerap menjadi sasaran terjahan keras oleh lawan mereka dari Amerika Tengah itu.

Jurulatih Belgium, Roberto Martinez berharap pemain Chelsea itu tidak menerima layanan serupa daripada Tunisia.

“Memang membimbangkan apabila kekasaran itu akan menyebabkan dia tercedera. Ia tidak membimbangkan saya jika mereka hanya berhasrat untuk menyekat pergerakannya,” kata jurulatih Belgium itu.

Setakat ini, Belgium masih belum pernah tewas di tangan pencabar dari benua Afrika pada Piala Dunia, sementara Tunisia pula tidak pernah mengalahkah pasukan Eropah di pusingan akhir tersebut.

Pemain berpengalaman Oussama Haddadi dijangka menggantikan Ali Maaloul untuk posisi bek kiri Tunisia dan Martinez melihat ancaman besar bakal diterima skuad bimbingannya sekalipun pasukan Afrika utara itu tewas 1-2 kepada England dalam aksi pembukaan.

“Mereka sangat berani dan merupakan sebuah pasukan yang dinamik. Para pemain memiliki tahap persefahaman yang tinggi antara satu sama lain dan mereka mampu menghadirkan tenaga serta kesungguhan ketika melakukan serangan balas. Mereka bermain secara efisien,” kata Martinez.

Selepas menyaksikan Lukaku dan Dries Martens meledakkan gol sewaktu menentang Panama, Hazard juga mahu menjaringkan gol untuk pasukannya, malah, pemain itu turut menyedari negaranya amat dahagakan kejayaan. – AFP