Zaiton Othman

Menurut Pesuruhjaya Sukan, Datuk Zaiton Othman, pihaknya memerlukan masa untuk meniliti isu FAM, sebelum mengeluarkan sebarang keputusan.

“Biar kami jalankan siasatan mengenai perkara ini dan buat masa ini saya tidak mahu membuat sebarang ulasan,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia, semalam.

Zaiton sebelum ini menjangkakan, tempoh dua minggu diperlukan untuk memutuskan nasib FAM selepas badan induk bola sepak negara itu membalas surat tunjuk sebab kepada mereka pada 23 September lalu.

Jika mengikut tarikh surat tersebut diserahkan oleh FAM, bermakna esok genap dua ­minggu seperti yang ditetapkan.

FIFA semalam mengenakan denda 40,000 Swiss franc (RM180,000) terhadap FAM, selain memberi amaran keras kepada mereka kerana gagal me­ngawal keadaan ketika penyokong meurusuh sewaktu kelayakan Piala Dunia 2018/Piala Asia 2019 menentang Arab Saudi pada 8 September lalu.

Kemenangan 3-0 turut diberi kepada pasukan pelawat, malah skuad negara diarah beraksi tanpa penyokong dalam perlawanan kelayakan Piala Dunia/Piala Asia pada 17 November menentang Emiriyah Arab Bersatu (UAE).