De Gea memberi isyarat jelas bahawa dia tidak berminat melanjutkan perjanjian selepas kontraknya tamat pada 2020 bagi memberi tekanan kepada Red Devils supaya menjualnya pada musim panas ini.

Keengganan United memenuhi permintaan gaji De Gea sebanyak 350,000 pound seminggu (RM1.8 juta) juga menjadi faktor pemain itu mahu berhijrah, malah Paris Saint-Germain (PSG) bersedia memenuhi permintaan tersebut.

Gergasi Perancis itu dilaporkan akan membuat bidaan 60 juta pound (RM319.28 juta) pada tempoh perpindahan kali ini ataupun mengambil pilihan untuk menandatangani penjaga gol itu secara percuma tahun depan.

Pendirian De Gea itu adalah tamparan hebat buat pengendali, Ole Gunnar Solskjaer yang dalam proses membangunkan semula United.

Mengakhiri saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) di kedudukan keenam dengan menyaksikan Red Devils terlepas slot ke Liga Juara-Juara musim depan sekali gus sukar meyakinkan De Gea terus kekal.

Sekiranya, benar keputusan De Gea meninggalkan Old Trafford, kekalahan 2-0 kepada Cardiff City mungkin menjadi penampilan terakhirnya buat United selepas lapan tahun bersama kelab berkenaan.-Agensi