Pelantikan warga Norway itu sebagai pengendali sementara, menyaksikan dia memulakan kehidupan baharunya di United dengan kemenangan keempat berturut-turut di Newcastle, dan sekali gus menghidupkan kembali peluang memburu kelompok empat terbaik bagi melayakkan diri ke Liga Juara-Juara.

United kini meledakkan 14 gol dalam empat perlawanan sejak Solskjaer mengambil alih pasukan dengan Marcus Rashford dan Paul Pogba khususnya kembali mempamerkan persembahan terbaik setelah keyakinan mereka hilang di bawah Mourinho.

Meskipun memulakan aksi dengan kejayaan 100 peratus, De Gea masih kecewa terhadap kegagalan pasukannya mengekalkan aksi tanpa bolos, yang mana kelemahan itu berjaya diperbaiki di St James Park selepas gol Romelu Lukaku dan Rashford memastikan United meraih kemenangan 2-0.

“Amat penting untuk David (bagi mengekalkan pintu golnya tidak dibolosi). Kami mahu buat David gembira kerana dia sedikit kecewa dalam perlawanan sebelum ini. Saya terpaksa menahan telinga mendengar leterannya yang mahu mengekalkan gawangnya tanpa dibolosi!” kata Herrera.

United kini hanya ketinggalan enam mata di belakang Chelsea dan bakal berdepan Tottenham dalam tempoh seminggu lagi. Pertembungan tersebut bakal menguji kemampuan sebenar United yang menunjukkan kemajuan sejak berada di bawah kendalian Solskjaer yang berminat untuk memegang jawatan pengurus tetap di Old Trafford. - AGENSI