Selepas Ilkay Gundogan membuka jaringan pada minit ke-14, De Bruyne menyumbat gol kedua selain mencipta gerakan untuk gol ketiga oleh Raheem Sterling, yang turut melengkapkan kejayaan skuad Citizens.

Kemenangan itu memboleh­kan City melebarkan rekod 16 kemenangan berturut-turut dalam Liga Perdana Inggeris musim ini.

Banyak hantaran De Bruyne melepasi pertahanan Spurs, dan Guardiola berkata pemain tersebut mempunyai keupayaan luar biasa, tahap kerja kemas selain mampu menjadi contoh kepada pemain muda kelab itu.

Selain itu De Bruyne juga mendapatkan sepakan penalti pada babak kedua namun sepakan Gabriel Jesus terkena palang dan sekali lagi pemain Belgium itu meluru ke depan untuk membantu jaringan ketiga City.

“Kevin merupakan salah seorang pemain paling berbakat. Anda boleh lihat bagaimana dia berlari tanpa membawa bola dan bayangkan betapa bagusnya dia apabila membawa bola.

“Dia contoh terbaik untuk pemain muda, untuk akademi kami, untuk Phil Foden, untuk Brahim (Diaz). Mereka tahu betapa bagusnya Kevin De Bruyne.

“Apabila mereka lihat bagaimana dia berlari dan berjuang biarpun tanpa bola, itu merupakan contoh terbaik.

“Dia telah membantu kelab ini untuk menjadi yang terbaik, menjadi institusi terbaik demi masa depan. Inilah yang kami mahukan. Persembahannya hari ini, saya tidak boleh kata apa-apa,” ujar Guardiola.

Kemenangan itu yang diraih dalam suasana berkabus di Stadium Etihad membolehkan City mengukuhkan kedudukannya di tempat teratas selepas mengumpul 52 mata. – AFP