Beliau berpandangan pasukan bola sepak negara wajar mencontohi skuad Samurai Blue dan Taeguk Warriors yang kini antara pasukan paling berjaya di Asia dengan pelbagai pencapaian termasuk layak beraksi dalam Piala Dunia.

Menurutnya pada satu ketika, Malaysia menjadi rujukan Jepun apabila mewujudkan liga semi-pro pada 1989 selama empat tahun sebelum memulakan liga profesional pada 1994, namun kini pasukan Samurai Blue jauh ke depan berbanding skuad negara.

“Bercakap mengenai barisan kejurulatihan... mengapa tidak kita cuba menggunakan kepakaran daripada Jepun dan Korea Selatan serta bagaimana mereka boleh melakar kejayaan sehingga mara ke pentas Piala Dunia,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan penganjuran bola sepak Perpaduan Tujuh Sebelah bawah 12 tahun, Piala Datuk Soh Chin Aun di Bandar Hilir, di sini hari ini.

Turut hadir beberapa legenda bola sepak tanah air era 1980-an iaitu Datuk Shukor Salleh, Datuk Santokh Singh dan Datuk N. Thanabalan.

Malaysia kini berada pada ranking ke-168 dunia dan ke-35 daripada 46 negara Asia yang menyertai kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023.

Mengulas lanjut, anak kelahiran Alor Gajah itu berkata, khidmat jurulatih dari kedua-dua negara tersebut adalah lebih baik berbanding Eropah yang pada pandangannya tidak begitu mementingkan prestasi skuad negara.

“Selepas tiga tahun, mereka akan pulang (ke negara asal) dengan poket yang penuh,” katanya. - BERNAMA