CSKA diarahkan untuk beraksi dalam stadium kosong oleh badan induk UEFA selepas penyokong kelab itu berkelakuan liar ketika menentang Viktoria Plzen Disember lalu.

Selepas dibelasah 5-1 oleh AS Roma dalam perlawanan pembukaan dalam Kumpulan E, kini CSKA berdepan dengan tugas sukar apabila terpaksa bertemu dengan kelab gergasi Jerman itu tanpa kehadiran penyokong mereka.

Jurulatih CSKA, Leonid Slutsky berharap pasukannya dapat beraksi dengan baik selepas berjaya mencatat tujuh kemenangan daripada sembilan perlawanan liga domestik namun mengakui terdapat kepincangan di barisan pertahanan.

"Pasukan tidak seimbang dan kami lemah di bahagian pertahanan," kata Slutsky.

Menambah kegusaran jurulatih itu apabila penyerangnya yang sedang memuncak Seydou Doumbia tidak dapat menjalani sesi latihan kerana mengalami kecederaan ringan ketika menewaskan Lokomotiv Moscow minggu lalu.

Bayern pula kehilangan khidmat pertahanan Holger Badstuber, pemain tengah Bastian Schweinsteiger, Franck Ribery, Thiago Alcantara dan Javi Martinez akibat masalah kecederaan. - REUTERS