Terdahulu, bintang sayap Portugal, Cristiano Ronaldo meletakkan juara Eropah sembilan kali, Real di depan pada minit ke-28, sekali gus memberi harapan kepada mereka untuk mencatat kemenangan ketujuh berturut-turut musim ini.

Namun, gol penyamaan Wernbloom ketika wisel penamat hanya menunggu masa untuk ditiupkan memusnahkan harapan skuad bimbingan Jose Mourinho untuk pulang bersama kemenangan.

“Kami melepaskan gol ekoran kesilapan ‘budak sekolah’ yang dilakukan benteng pertahanan pada babak pertama.

“Bagaimanapun pada lewat separuh masa kedua, pemain-pemain kami berjaya mengatur serangan dengan lebih tajam dan akhirnya membolehkan kami mencipta jaringan.

“Keseluruhannya pertahanan kami bermain baik, serangan pula mencipta beberapa peluang dan bernasib baik kami berjaya menyudahkan satu daripadanya. Sudah tentu Real tetap pasukan pilihan dalam perlawanan ini, tetapi sekarang saya mula percaya bahawa segalanya tidak mustahil,’’ kata jurulatih CSKA, Leonid Slutsky.

Tuan rumah yang mendapat sokongan padu 63,000 penonton memulakan saingan dengan beberapa kali menembusi benteng Real yang rapuh, malah mencipta peluang pertama pada minit ketujuh tetapi rembatan Alan Dzagoev dari jarak lapan minit melewati palang gol.

Real membalas dengan percubaan jarak jauh Karim Benzema, yang turut meliar, memaksa Mourinho menggantikan penyerang Perancis itu dengan Gonzalo Higuain pada minit ke-18 kerana masalah otot.

Penjaga gol CSKA, Sergei Chepchugov bertindak cemerlang menyelamatkan dua percubaan tepat lawan, satu menerusi rembatan Higuain dan kemudian, tendangan susulan daripada Sami Khedira.

Bagaimanapun Chepchugov akhirnya gagal menghalang Ronaldo daripada menembusi gawang untuk gol pembukaan Real selepas bekas Pemain Terbaik Dunia itu menyudahkan hantaran Fabio Coentrao dari sebelah kiri.

CSKA, yang tidak pernah kalah kepada kelab Sepanyol dalam Kejohanan Eropah, mengatur serangan bertali arus dalam usaha menyamakan kedudukan, namun benteng pertahanan lawan yang semakin mantap menghalang mereka daripada mencipta gol.

Selepas babak kedua disambung, CSKA terus mengasak kubu lawan tetapi gagal memberi ancaman sebenar kepada penjaga gol Real, Iker Casillas.

Begitupun tiga minit memasuki masa kecederaan, Wernbloom akhirnya menceriakan penyokong CSKA apabila menyambut hantaran Alexei Berezutsky dari sebelah kiri untuk meledak gol penyamaan. - AFP