Dalam perlawanan sengit di Stadium Georgios Karaiskakis, Croatia seri 0-0 dengan juara Eropah 2004, Greece namun skuad kendalian Zlatko Dalic meraih tiket Piala Dunia buat kali kelima menerusi agregat 4-1.

“Keadaan di sini sukar, namun kami telah diselamatkan oleh aksi mengagumkan di Zagreb minggu lalu. Kalau kami hanya menang 1-0 pada perlawanan pertama, ia mungkin tidak mudah untuk melepasi halangan malam ini.

“Pasukan kami dalam prestasi terbaik dan pujian harus diberikan kepada semua pemain,” ujar Dalic.

Bintang tengah Real Madrid yang menjadi perancang utama Croatia, Luka Modric lega misi layak ke Piala Dunia akhirnya tercapai dan mereka berjaya mengelak igauan ngeri 2010 apabila gagal melayakkan diri dalam kejohanan bola sepak paling berprestij itu.

“Satu perlawanan yang sukar. Kami tidak beraksi di tahap sebenar, namun apa yang penting adalah keputusan.

“Greece bermain dengan sa­ngat baik malam ini. Mereka memberi tekanan tetapi tidak mempunyai peluang untuk bangkit,” jelasnya.

Sementara itu, sepakan penalti kontroversi yang diperoleh Switzerland pada perlawanan pertama di Belfast, minggu lalu memadai untuk membawa mereka ke Piala Dunia buat kali keempat berturut-turut selepas menang secara agregat 1-0.

Kedua-dua pasukan terikat tanpa jaringan di St. Jakob-Park, Basel tetapi jaringan penalti kontroversi yang disempurnakan Ricardo Rodriguez, Jumaat lalu berjaya menyelamatkan skuad bimbingan Vladimir Petkovic.

“Ia sangat sukar, terlalu ba­nyak tekanan. Ramai orang cakap tugas kami hampir selesai, namun menentang pasukan seperti ini adalah satu perjuangan. Kami gagal membawa bekalan selesa di Basel.

“Aksi kami hari ini agak hambar dan kurang efisyen, ia bukan semudah yang disangka,” kata penjaga gol Swizerland, Yann Sommer kepada stesen televi­syen RTS.

Kekalahan Ireland Utara itu bermakna mereka gagal menamatkan penantian 31 tahun selepas kali terakhir layak pada 1986.

Dalam aksi pertama, Switzerland dihadiahkan penalti selepas pengadil mendakwa bola remba­tan Xherdan Shaqiri terkena ta­ngan Corry Evans ketika pemain itu memusingkan badan. – AFP