Justeru, pemergian Chee Keong dianggap sebagai satu kehilangan besar buat arena bola sepak kebangsaan, kata bekas pemain sezamannya Dali Omar.

Chee Keong merupakan pemain tempatan pertama yang berkelana ke England apabila menyertai Bedford Town pada 1967 hingga 1968 seawal usia 19 tahun sebelum mencipta nama di Hong Kong pada 1970, bermula dengan menyertai kelab HK Rangers. Dia kemudiannya menyertai Jardine dengan rekod perpindahan termahal di Hong Kong pada waktu itu dengan bayaran HK$2,500 (RM1,200).

Namanya cukup dihormati oleh peminat bola sepak di Hong Kong berikutan kehebatannya mengawal gawang sehinggakan diberi gelaran Asian Steel Gate dan Crazy Sword. Mendiang Chee Keong mula beraksi bersama Malaysia Bawah 20 seawal usia 13 tahun sebelum diserapkan ke dalam skuad senior dua tahun kemudian, menjadikannya pemain termuda dalam pasukan utama negara ketika itu.

Setelah beraksi selama 28 tahun dan membantu Malaysia layak ke sukan Olimpik 1972 di Munich dan 1980 di Moscow yang diboikot kemudiannya, Chee Keong membuat keputusan untuk menggantung but pada 1991 dan beralih kepada golf.

Dali, yang merupakan bekas rakan sepasukan mendiang dalam pasukan negara pada era 1960-an mengakui berasa terkejut sebaik sahaja menerima berita kematian Chee Keong dan berkata, mendiang merupakan penjaga gol terbaik pernah dilahirkan oleh negara.

“Secara peribadi, saya tidak pernah jumpa penjaga gol seperti mendiang. Saya sendiri pun sukar untuk menewaskannya.

“Mendiang berkelakuan baik, serius menjalani latihan dan berani menghalang asakan lawan. Kali terakhir saya berjumpa dengan mendiang pada 1970 ketika kami beraksi bersama kelab masing-masing dalam Liga Malaysia.

“Kehilangan yang tiada penggantinya. Kehebatannya seperti penjaga gol Jerman, Oliver Kahn,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Chee Keong, 69, Penjaga Gol Terbaik Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) sebanyak lima kali berturut-turut bermula pada 1966, meninggal dunia pada pukul 7 pagi semalam di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM). Bekas penjaga gol Selangor itu meninggalkan balu Christina Kwok dan anak lelaki Adrian yang merupakan penjaga gol skuad hoki ais negara.

Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd. Amin yang melawat keluarga mendiang di PPUM semalam berkata, beliau sedih dengan pemergian Chee Keong.

Difahamkan mendiang menghidap kanser pundi kencing tahap empat pada tahun lalu, dan Januari lalu mendiang melakukan pembedahan pintasan jantung. Terdapat komplikasi daripada penyakit yang berasingan itu.