Perlawanan tersebut juga akan mempertemukan bintang Brazil itu untuk kali pertama dengan penyokong The Reds sejak memohon untuk meninggalkan kelab tersebut dan berhi­jrah ke Barcelona pada musim panas lalu.

Coutinho, 25, telah menyerahkan permohonan untuk berpindah dan memberi­tahu Klopp bahawa dia mahu menyertai kelab gergasi Sepanyol itu.

Bagaimanapun, The Reds enggan melepaskan Coutinho apabila menolak beberapa tawaran Barcelona terma­suk bidaan bernilai 119 juta pound (RM658.65).

“Phil adalah pemain yang menakjubkan dan berharap kami dapat menggunakan khidmatnya secepat yang mungkin. Kami akan bermain Rabu ini. Ya (Coutinho akan bermain).

“Kami bermain pada hari Rabu, kami bermain pada hari Sabtu, kami bermain dan terus bermain. Saya akan menghadapi keadaan sekarang sepanjang tiga atau empat minggu akan datang.

“Kami fikir yang terbaik adalah memberi dia tiga atau empat hari latihan yang betul dan kemudian dia akan kembali beraksi untuk pasukan, ini merupakan berita yang sangat baik,” katanya.

Coutinho terlepas aksi awal musim kerana bergelut dengan kecederaan dan menjaringkan gol untuk Brazil semasa tempoh perlawanan antarabangsa baru-baru ini.

Bagaimanapun, belum dapat dipastikan bagaimana reaksi penyokong The Reds terhadap Coutinho nanti.

Anak buah Klopp perlu bangkit dan menebus kekalahan besar 0-5 mereka di tangan Manchester City Sabtu lalu.

Dalam perlawanan itu, Sadio Mane dilayangkan kad merah kerana menendang muka penjaga gol City, Ederson.

Mane digantung tiga perlawanan tetapi boleh diturunkan bertemu Sevilla. – AGENSI