Iklan ‘terlebih awal’ dikeluarkan Nike mengenai perpindahan Coutinho kepada Barcelona telah menyebabkan Liverpool berang dan mengambil tindakan menaik­kan nilai yuran perpindahannya, dan tambahan itu dibayar sendiri oleh pemain Brazil itu.

Difahamkan, pemain tengah itu telah membayar sebanyak 9 juta pound (RM48.75 juta) dari poket sendiri untuk meninggalkan Anfield dan berpindah ke Camp Nou dan akan membayar sebanyak 2.5 juta pound (RM13.54 juta) lagi pada masa depan.

Taktik itu diperkenalkan oleh bekas pemain Arsenal, Fabregas apabila dia membayar 4 juta pound (RM21.7 juta) untuk memastikan perpindahannya kepada Barcelona pada 2011 tidak tergendala.

Coutinho menyempurnakan perpindahannya yang bernilai 142 juta pound (RM769.2 juta) dengan menandatangani kontrak lima setengah tahun dengan Barcelona hari ini. Kontrak itu turut mempunyai klausa pelepasan bernilai 400 juta euro (RM1.92 bi­lion).

Sementara itu, Cou­tinho sudah pun berasa seperti ber­ada di ‘rumah’ walaupun baru tiba di Barcelona setelah menerima bantuan bekas rakan sepasukannya di Liverpool, Luis Suarez.

Suarez, 30, sudah pun mendapatkan sebuah rumah untuk Coutinho ketika dia belum lagi mengesahkan perjanjian, malah memberitahu Presiden Barcelona, Josep Maria Bartomeu bahawa mereka tidak perlu menyediakan hotel buat pemain tersebut.

Coutinho, 25, mengakui terhutang budi dengan inisiatif Suarez yang mencarikannya rumah bersebelahan rumahnya sendiri.

“Dia melihat ada sebuah rumah kosong di sebelah rumahnya. Dia tidak pasti apakah saya akan ke sini atau tidak tetapi dia suka dengan idea itu (mereka tinggal berjiran),” kata Coutinho kepada Daily Mail.

Menurut Coutinho lagi, dia amat gembira kerana akhirnya berjaya memenuhi impian untuk menyarung jersi Barcelona dan percaya ini adalah peluang terbaiknya untuk merangkul lebih banyak kejuaraan.

“Saya sangat, sangat gembira. Adalah menjadi impian saya selama ini untuk berada di sini. Saya harap saya dapat bermain, memenangi gelaran, membuatkan pe­minat gembira serta sentiasa bermain dengan seronok.

“Sesuatu yang me­ngu­jakan apabila me­nye­dari saya akan ber­gandi­ngan dengan pemain-pemain hebat seperti Leo (Lionel) Messi, Luis Sua­rez, (Andres) Iniesta, (Gerard) Pique dan (Sergio) Busquets,” katanya.

Sementara itu, pe­ngendali Bar­celona, Ernesto Val­­­verde berkata, per­mainan versatil Cou­tinho akan menjadi senjata baharu Barcelona.

“Saya fikir dia akan memberi banyak manfaat. Dia memiliki rekod jaringan yang bagus, dia juga banyak memberi bantuan gol,” kata Valverde. – AGENSI