Coutinho menjaringkan gol pembukaan Barca pada minit ke-49 dalam aksi separuh akhir kedua di Mestalla, setelah tiga minit memasuki padang menggantikan Andre Gomes.

Jaringan tersebut merupakan gol pertamanya sejak bintang Brazil tersebut menyertai skuad Catalan dengan rekod perpindahan kelab 160 juta euro (RM770 juta) dari Liverpool pada Januari lalu.

Ivan Rakitic kemudian menambah derita Valencia pada ketika saingan berbaki lapan minit, menyaksikan Barca mara ke final buat kali kelima berturut-turut, yang juga kelab pertama berjaya meraih pencapaian sedemikian.

Skuad bimbingan Ernesto Valverde itu akan berdepan Sevilla di pentas akhir sama ada pada 21 atau 22 April ini.

Sevilla menumpaskan Leganes 2-0 semalam sebelum mara ke peringkat akhir menerusi agregat 3-1.

“Bagi saya, ini merupakan final pertama saya. Jadi ia menjadi tempoh istimewa bagi diri saya. Saya sangat gembira, memang saya mencari gol seperti ini dalam beberapa penampilan awal saya.

“Hari ini, saya berjaya menjaringkan gol dan membantu pasukan saya mara ke pentas akhir,” kata Coutinho kepada stesen televisyen Sepanyol, Gol.- AFP