Namun, penyokong Belgium berada dalam kebimbangan apabila Hazard yang kini berada pada prestasi terbaiknya, berjalan terhincut-hincut keluar padang pada minit ke-70.

Bagaimanapun, rakan sepasukannya selepas itu menghilangkan kebimbangan peminat apabila mengesahkan bintang Chelsea yang bertubuh kecil tersebut tidak ditimpa sebarang kecederaan serius.

“Saya tidak terlalu bimbang tentang Eden, dia seorang lelaki yang kuat. Dia sering ditendang sepanjang masa, tetapi semua yang dihadapinya itu telahpun dilupakan,” kata Lukaku selepas perlawanan.

Pemain Manchester United berbakat besar, Lukaku terlalu hebat buat Costa Rica yang memulakan aksi mereka dengan baik, dan berjaya mendahului menerusi jaringan Brian Ruiz pada minit ke-24 selepas pasukan pelawat itu melancarkan serangan awal.

Namun, pasukan yang menewaskan Mesir 3-0 minggu lepas mula mendapat rentak permainan selepas itu menerusi gerakan yang dirancang Hazard dan Belgium akhirnya berjaya mendahului 2-1 sebelum rehat babak pertama, terima kasih kepada jaringan Dries Mertens serta Lukaku.

Penyerang Red Devils yang bertubuh besar itu kemudian menyumbat gol kedua menerusi tandukan pada separuh masa kedua selepas berlari laju mencari ruang yang terbuka.

Dia kemudian menjadi perancang kepada gandingannya di jentera serangan, Michy Batshuayi untuk jaringan keempat.

Pesaing Belgium dalam Kumpulan G pada Piala Dunia - England, Panama dan Tunisia kini harus berwaspada dengan prestasi yang dipamerkan skuad bimbingan Roberto Martinez itu. - AFP