FA dalam laman web rasmi mereka semalam berkata, Costa dikenakan tindakan di bawah akta salah laku selepas rakaman televisyen menunjukkan pemain itu menutup muka pertahanan lawan, Laurent Koscielny menggunakan tangannya.

Pengadil terlepas pandang insiden tersebut.

“Sewaktu insiden tersebut berlaku ia terlepas pandang daripada pegawai perlawanan dan telah dirujuk oleh tiga bekas pe­ngadil elit.

“Untuk tindakan retrospektif yang akan diambil dan FA bakal menentukan bentuk hukuman keputusan yang dibuat oleh panel mestilah sepakat,” kata FA dalam satu kenyataan.

Sementara itu, pertahanan Brazil, Gabriel diarah keluar padang selepas didapati bertikam lidah dengan Costa sejurus insiden tersebut berlaku dan dijatuhkan hukuman selepas didapati berkelakuan tidak sopan .

Kedua-dua pemain diberi tempoh sehingga esok untuk mengemukakan rayuan.

Dalam pada itu, Chelsea dan Arsenal turut dikenakan tindakan oleh FA kerana gagal mengawal tingkah laku pemain mereka.

Dalam perlawanan tersebut Chelsea menang 2-0 selepas Arsenal terpaksa beraksi dengan sembilan pemain ekoran kad merah yang dilayangkan kepada Gabriel dan Santi Cazorla.

Pengurus Arsenal, Arsene Wenger mengkritik tindakan Costa selepas perlawanan tersebut dengan berkata, pemain Sepanyol itu kerap terlibat dalam provokasi.
– REUTERS