Pemain Arsenal, Gabriel (dua dari kiri) dan penyerang Chelsea, Diego Costa dipisahkan oleh pemain lain setelah mereka berdua bertelingkah sewaktu perlawanan Liga Perdana Inggeris di Stamford Bridge, London Sabtu lalu. AGENSI

Costa telah menafikan dakwaan oleh FA atas kelakuannya Sabtu lalu, yang tidak dilihat oleh pe­ngadil perlawanan Mike Dean, yang mana dia menampar muka pemain pertahanan Gunners, Laurent Koscielny.

Tetapi, FA dalam kenyataannya memberitahu, hukuman ke atas Diego Costa dikenakan kerana ke­salahan yang tidak dilihat oleh pegawai perlawanan tetapi dibuktikan oleh rakaman video semasa perbicaraan di hadapan Suruhanjaya Peraturan Bebas.

“Penyerang Chelsea itu akan dikenakan hukuman standard penggantungan tiga perlawanan serta-merta,” kata kenyataan daripada FA.

Keputusan tersebut mendapat reaksi kurang enak daripada Chelasea yang memberitahu amat kecewa atas hukuman itu.

“Kami sangat kecewa dengan keputusan Suruhanjaya Peraturan FA menggantung Diego Costa.

“Kami juga akan menunggu alasan utama mereka sebelum membincangkan lebih lanjut perkara ini,” kata kenyataan rasmi daripada Chelsea.

Terdahulu, Gabriel memenangi rayuan terhadap hukuman kad merah yang diterimanya kerana dituduh mengasari Costa dalam perlawanan di Stamford Bridge itu.

Bagaimanapun, Gabriel masih perlu berhadapan dengan tuduhan berasingan kerana keengganan pemain dari Brazil itu meninggalkan padang dengan segera selepas ditunjukkan kad merah oleh Dean, dan cuba bersemuka dengan Costa sebelum ditenangkan oleh rakan-rakan sepasukannya.

Kedua-dua kelab itu juga berdepan dengan dakwaan gagal mengawal kelakukan pemain masing-masing sewaktu perlawanan yang berlangsung dalam suasana tegang itu, yang mana Arsenal menamatkan permainan dengan sembilan pemain apabila pemain tengah Santi Cazorla turut diarah keluar pada separuh masa kedua. – AGENSI