Juara bertahan itu telahpun dibolosi tujuh gol dalam dua perlawanan terakhir mereka selepas tumpas 0-3 kepada Bournemouth di laman sendiri, minggu lepas, yang sekali gus menjadikan peluang mereka layak ke Liga Juara-Juara berada dalam bahaya pada musim depan.

“Satu hari lagi, esok. Saya masih bergelar jurulatih Chelsea ataupun tidak, apakah masalahnya? Saya tetap tidur seperti biasa tanpa sebarang masalah. Saya cuba memberikan segala-galanya dan, jika ia sudah mencukupi, melainkan kelab membuat keputusan yang berbeza. Hidup perlu diteruskan,” kata Conte.

Kekalahan tersebut masih mengekalkan Chelsea di kedudukan keempat dan hanya satu mata di depan pasukan tangga kelima, Tottenham Hotspur dalam pertarungan merebut slot kelompok empat terbaik.

Conte berulang kali merungut sepanjang kempen bahawa dia kekurangan sokongan untuk membeli pemain yang dimahukannya.

Sekali lagi kesebelasan utama warga Itali itu tanpa penyerang yang dikenali di Vicarage Road dengan Alvaro Morata diketepikan akibat kecederaan dan pemain yang baharu sahaja ditandatangani, Olivier Giroud hanya cukup cergas untuk memanaskan bangku simpanan.

Bagaimanapun, Conte turut melemparkan kritikan terhadap para pemainnya, yang disifatkan `bermain dalam ketakutan’.

“Saya cuba untuk terus meningkatkan aspek yang berbeza ke atas para pemain, tetapi hari ini saya fikir persembahan kami sangat teruk. Sudah tentu saya perlu memikul tanggungjawab ini kerana mungkin saya ada membuat keputusan salah dalam kesebelasan utama.

“Untuk bermain bola sepak dalam sebuah kelab besar, anda perlu memiliki personaliti. Mudah untuk bermain jika ada keyakinan. Pada ketika ini, anda boleh melihat siapa yang dibentuk untuk sebuah kelab yang hebat, dengan personaliti bersedia mengambil sebarang risiko,” tambah Conte.

Tugas Chelsea menjadi bertambah sukar apabila Tiemoue Bakayoko dibuang padang hanya selepas setengah jam perlawanan bermula setelah menerima dua kad kuning.

Penalti Troy Deeney meletakkan tuan rumah di depan sebelum rehat babak pertama, tetapi Chelsea diberikan talian hayat lapan minit sebelum waktu sebenar permainan tamat menerusi jaringan Eden Hazard dari jarak 22 meter.

Bagaimanapun, Conte mula berasa jengkel terhadap reaksi skuad bimbingannya dihujung perlawanan apabila mereka dibolosi sebanyak tiga kali dalam tempoh enam minit terakhir hasil jaringan Daryl Janmaat, Gerard Deulofeu dan Roberto Pereyra. - AFP