Pemain tengah Perancis itu, yang tidak pernah mengenal erti putus asa, menerima anugerah Pemain Terbaik daripada PFA dan juga Persatuan Penulis Bola Sepak musim lepas selepas persembahannya menjadi sumber inspirasi Chelsea untuk merangkul gelaran.

Itu merupakan gelaran kedua dirangkul pemain itu dalam tempoh dua musim di England selepas dia memainkan peranan besar sewaktu membantu kemenangan Leicester pada tahun sebelumnya.

Namun, Kante tidak dinilai daripada kehebatannya menjaringkan gol sejak dia tiba di England.

Jaringannya ketika membantu Chelsea menewaskan bekas pasukannya 2-1 di Stadium King Power semalam hanya merupakan gol ketiga pemain itu termasuk sejak menyertai Leicester pada 2015. Alvaro Mo­ratta adalah salah seorang penjaring gol buat Chelsea, sementara Jamie Vardy merapatkan jurang menerusi sepakan penalti.

Kejayaan tersebut merupakan kemenangan ketiga berturut-turut dicatat Chelsea dalam usaha juara bertahan itu kembali pulih daripada kekalahan mengejut di tangan Burnley dalam aksi pembukaan.

“Sudah tentu hari ini (semalam) merupakan hari yang indah buat kami dan Alvaro Morata. Bagus untuk seorang penyerang menjaringkan gol. Buat kami sebagai sebuah pasukan, amat penting untuk melihat peningkatan prestasi, tetapi jika Morata menjaringkan gol saya turut gembira menyaksikannya.

“N’Golo Kante telah mempamerkan aksi yang mengagumkan, tetapi kami sudah biasa menyaksikan dia berbuat demikian kerana dia sememangnya seorang pemain yang hebat.

“Dia menyempurnakan la­rian yang baik dan melakukan hantaran berkualiti tinggi. Kini tindakan penyudah­nya juga berkualiti. Amat penting untuk melihat pemain ini terus meningkat dan N’Golo Kante merupakan pemain handalan,” kata Conte. – AFP