EDEN HAZARD (kanan) mungkin diletakkan di posisi penyerang tengah oleh Antonio Conte dalam strategin

EDEN HAZARD (kanan) mungkin diletakkan di posisi penyerang tengah oleh Antonio Conte dalam strateginya untuk menumpaskan Barcelona apabila mereka bertemu dalam perlawanan Liga Juara-juara awal pagi esok.

Jika perlu berhati-hati, bermakna Conte mungkin sukar untuk menggunakan sepenuhnya kebolehan Eden Hazard untuk menjaringkan gol tetapi jika ghairah menyerang pula Chelsea perlu bersedia menanggung risiko lebih besar.

Atas faktor itu, pe­ngendali dari Itali itu lebih suka mengekalkan corak permainan ketika pertemuan pertama kedua-dua pasukan di Stamford Bridge sebelum ini yang berkesudahan seri 1-1.

Walaupun menyedari Chelsea wajib menjaringkan gol kali ini untuk mara ke suku akhir, beliau membayangkan pendekatan bertahan kemudian menyerang balas de­ngan pantas adalah yang terbaik buat pasukannya ketika ini.

“Kami perlu mengulangi permainan seperti yang ditunjukkan di Stamford Bridge tempoh hari dan cuba menggunakan setiap peluang yang ada dengan lebih baik lagi. Paling penting, kami perlu bersedia menerima akibatnya jika Hazard bermain di jentera tengah serangan atau tidak,” katanya.

Conte merujuk kepada tindakannya me­ngorbankan Hazard dengan meletakkannya sebagai penye­rang tengah dalam pertemuan pertama sehingga menyebabkan pemain antarabangsa Belgium itu gagal menyinar.

Pengurus dari Itali itu juga mempunyai pilihan pemain lain untuk diturunkan se­perti Olivier Giroud atau Alvaro Morata dan mengembalikan Hazard ke bahagian sayap manakala Willian yang beraksi cemerlang mungkin akan dikekalkan di bahagian tengah. – AFP