Berbekal semangat tinggi pemainnya yang mempamerkan persembahan meyakinkan pada awal musim termasuk menewaskan Arsenal 4-0, kemenangan ke atas City bakal mengukuhkan lagi prospek Liverpool untuk mengakhiri kemarau kejuaraan liga yang kali terakhir mereka raih pada 1990.

Dengan City sendiri, Manchester United dan Chelsea turut mempamerkan prospek yang sama, anak buah Jurgen Klopp yang belum lagi kalah musim ini sudah tentu mahu menjadikan pertemuan penting itu sebagai medan pembuktian prospek yang mereka miliki untuk turut sama bersaing merebut takhta liga.

Daripada tiga perlawanan liga domestik, Liverpool berjaya me­ngumpul tujuh mata dan ini tidak termasuk aksi cemerlang mereka ketika membenam kelab Jerman, Hoffenheim dalam playoff Liga Juara-juara Eropah.

Muncul sebagai antara kelab yang aktif membeli pemain baharu, keazaman Liverpool musim ini ditonjolkan dengan ketara sekali apabila berjaya mendapat khidmat pemain Mesir, Mohamed Salah daripada AS Roma selain Alex Oxlade-Chamberlain daripada Arsenal.

Ternyata kehadiran dua pemain ini menambah bisa Liverpool di jentera serangan yang sudah pun mempunyai Sadio Mane dan Roberto Firmino dan tidak lama lagi Adam Lallana akan kembali daripada kecederaan.

Tidak hairanlah pemerhati bola sepak memandang serius prospek yang ada pada Liverpool walaupun dihantui isu Phillipe Coutinho yang kini sedang bermain tarik tali dengan pengurusan kelab England itu untuk menyertai Barcelona.

“Saya tidak nampak lagi prospek Liverpool sebelum musim bermula tetapi dengan pembelian pemain baharu dan usaha mereka mengekalkan Coutinho dalam pasukan, itu satu suntikan semangat kepada mereka.

“Kini saya mengubah pendirian saya mengenai Liverpool dan mereka membuatkan perasaan saya bercampur baur,” kata bekas pemain United, Ryan Giggs.

Berdasarkan rekod pertemuan, ternyata Liverpool lebih baik berbanding City setelah menang empat daripada enam pertemuan terakhir mereka dalam liga. Malah, dua kekalahan mereka itu pun berlaku tiga tahun lalu. – REUTERS