City berdepan kesukaran untuk merobek gawang Hammers yang mempamerkan aksi tersusun, selepas Angelo Ogbonnna melakar kejutan dengan mele­dakkan jaringan pembukaan sebelum rehat.

Bagaimanapun, anak-anak buah Guardiola berjaya mengekalkan fokus mereka dan meledakkan gol penyamaan menerusi Nicolas Otamendi 12 minit selepas perlawanan disambung manakala David Silva membuat sepakan voli untuk jaringan kemenangan ketika permainan berbaki tujuh minit.

“Kami bermula dengan cukup baik, tetapi kami hilang kesabaran. Kami gagal mendapatkan rentak permainan kerana (penjaga gol West Ham) Adrian mengambil masa selama 30 saat setiap kali memegang bola.

“Mereka meletakkan 10 pemain di dalam kotak penalti, keadaan hampir mustahil. Ini satu kemenangan penting. Ini membuktikan kekuatan kami,” kata Guardiola.

City menyamakan rekod 13 kemenangan berturut-turut dalam aksi liga dan kembali menjarakkan kedudukan kepada lapan mata di depan pasukan di tempat kedua Manchester United menjelang pertembungan dengan anak-anak buah Jose Mourinho hujung minggu ini.

Guardiola mengakui keputusannya sewaktu rehat babak pertama untuk membawa masuk penyerang Brazil, Gabriel Jesus sebagai detik penentu yang membuka laluan kepada Sergio Aguero mendapatkan lebih sokongan di bahagian serangan.

“Anda perlu cuba untuk me­rungkai masalah tersebut (apabila pasukan lawan beraksi dengan corak bertahan). Kami memiliki dua penyerang dalam babak ke­dua dan itu ternyata membantu, dan ini merupakan satu pengajaran penting buat saya. Kami berjaya mencipta lebih banyak peluang dengan dua penyerang.

“Kelajuan kami lebih baik, dan kerap berada di dalam kotak pe­nalti. Kevin de Bruyne yang berperanan sebagai pemain tengah telah membantu kami beraksi mengikut kelajuan yang dimahukan. Kami bermain lebih bagus,” katanya.

Bagaimanapun, melihat gawang City dibolosi sekali lagi menerusi situasi bola mati dalam perlawanan menentang West Ham, Guardiola menjangkakan skuad bimbingannya bakal di­asak dari udara oleh United hujung minggu ini.

“Kami bercakap tentang bertahan ketika situasi bola mati, tetapi mereka memiliki pemain lebih tinggi. Keadaan itu akan berlaku lagi minggu depan menentang United, jadi kami perlu cuba mengurangkan pasukan lawan mendapat situasi bola mati,” ujarnya. – AFP