Keputusan 1-0 yang dicatat Kuala Lumpur sebelum perlawanan terhenti pada minit ke-56 akibat hujan lebat malam tadi kekal apabila saingan bersambung hari ini, biarpun JDT mengatur banyak percubaan ke gawang skuad The City Boys.

Jaringan Paulo Josue pada minit ke-46 menjadi gol kemenangan yang memisahkan kedua-dua pasukan.

Ini adalah kekalahan pertama skuad Harimau Selatan yang sebelum ini memulakan musim baharu dengan kemenangan 2-1 ke atas Kedah dan 3-0 menumpaskan Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP) FC.

Kuala Lumpur yang baru kembali ke kancah liga utama pula tewas 0-2 kepada Selangor dan 0-2 di tangan Negeri Sembilan dalam dua perlawanan pembukaan.

Kekalahan JDT memberi ‘rahmat’ kepada Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) FC yang muncul pendahulu baharu Liga Super hasil kemenangan 2-0 ke atas Perak di Stadium Perak, Ipoh malam tadi.

Pendahulu terdahulu, Selangor juga tewas 4-1 kepada Terengganu di Stadium Ismail Nasirruddin Shah, Kuala Terengganu malam tadi.

Sementara itu, pengendali JDT, Ulisses Morais berkata, pasukannya mengawal perlawanan dan memperoleh lebih banyak peluang, malangnya kegagalan menyudahkan percubaan menyebabkan mereka keciciran tiga mata.

“Pemain kami bermain baik dan menguasai sebahagian besar permainan, malangnya gagal menyempurnakan peluang menyebabkan kami mengalami kekalahan pertama musim ini,” katanya kepada pemberita hari ini. - UTUSAN ONLINE