Malah, kapten Brazil berusia 31 tahun itu yang tinggal di Sweden sejak 10 tahun lalu dan fasih berbahasa Sweden bercadang menghabiskan sisa usianya di negara Scandinavia tersebut apabila bersara kelak.

Marta yang terkenal de­ngan jolokan ‘Pele with skirts’, gelaran yang diberikan oleh Pele sendiri bagaimanapun memberi jaminan akan terus beraksi untuk negara kelahirannya dalam pentas antarabangsa.

“Saya mempunyai jiwa Sweden dan amat gembira kerana akhirnya dapat melakukan perkara ini (menerima kerakyatan). Saya mahu tinggal di Sweden untuk tempoh lebih lama dan sekarang saya boleh berbuat demikian,” kata Pemain Terbaik Dunia lima kali itu.

Walaupun sering merindui keluarganya di Brazil, namun pe­ngalaman yang dilalui Marta sebagai pemain bola sepak wa­nita di negara kelahirannya antara yang mendorong dia nekad berhijrah ke luar negara.

Menurut Marta, walaupun dilahirkan di sebuah negara yang ‘gila’ bola sepak, namun rakyat Brazil tidak bersikap terbuka apabila golongan wanita melibatkan diri dalam sukan yang didominasi lelaki itu.

Dilahirkan dalam sebuah keluarga miskin di kawasan pedalaman timur laut Brazil, Dois Riachos, Alagoas, Marta terpaksa meyakinkan abang dan rakan-rakannya untuk membenarkan dia menyertai latihan bola sepak bersama mereka.

“Saya bermain dengan budak lelaki di jalanan tanpa kasut. Saya satu-satunya budak pe­rempuan dan setiap kali bermain, saya perlu melakukan sesuatu yang istimewa kerana dengan cara itu saya kelihatan lebih bagus,” kata Marta.

Bagaimanapun, laluan yang diharungi Marta selepas itu cukup berliku apabila terpaksa meninggalkan keluarganya ketika berusia 14 tahun dengan menaiki bas yang memakan masa tiga hari untuk ke Rio de Janeiro bagi menyertai kelab pertamanya, Vasco de Gama.

Peluang me­nyertai kelab tersebut bagaimanapun bukan le­sen buat Marta untuk mengembangkan kariernya dengan mudah, sebaliknya dia mendedahkan struktur pemain bola sepak profesional wanita hampir tidak wujud di Brazil menyebabkan dia terpaksa berhijrah ke luar negara.

Marta pada awalnya memilih Amerika Syarikat sebagai destinasi untuk mengembangkan karier, sebelum berpindah ke Sweden, yang mana cintanya terhadap bola sepak semakin mengukuh.

Seperti kebanyakan pelopor, Marta yang telah mewakili Brazil dalam empat Piala Dunia dan tiga Sukan Olimpik terpaksa mengorbankan kehidupan di tanah kelahiran demi cintanya terhadap bola sepak.

Menggalas peranan sebagai duta badan bola sepak dunia, FIFA, Marta aktif memperjuangkan peluang bermain untuk kanak-kanak perempuan dan juga wanita di seluruh dunia.