Timbalan Presiden FAM, Datuk Yusoff Mahadi berkata, pihaknya menyambut baik hasrat mana-mana pemain import yang ingin beraksi bersama Malaysia namun mereka perlu melepasi kriteria yang ditetapkan badan induk bola sepak negara itu.

“Siapa sahaja pemain luar yang bermain di liga tempatan boleh menyatakan hasratnya untuk mewakili negara dan bagi saya ini satu perkembangan yang baik untuk bola sepak Malaysia.

“Apapun berminat sahaja tidak cukup kerana yang penting kualiti dan prestasi pemain itu sepanjang lima tahun beraksi dalam liga. Kita akan menilai daripada situ sebelum membuat permohonan menjadikan pemain naturalisasi.

“Hasrat mereka mahu mewakili negara adalah bagus tetapi faktor usia juga menjadi ukuran. Syarat FIFA 18 hingga 23 tahun, sebolehnya kita mahukan pemain yang berusia 24 tahun untuk menjadi naturalisasi kerana mempunyai tempoh bermain yang panjang berbanding usia 30 ke atas,” katanya ketika ditemui pemberita di sini, hari ini.

Sementara itu, mengenai bekas pemain Kedah, Liridon Khasriqi yang sebelum ini menjadi sebutan untuk didaftarkan sebagai pemain naturalisasi masih dalam pertimbangan meskipun dia melepasi syarat FIFA. - UTUSAN ONLINE