Selain memanggil ramai pemain muda, bekas pengendali Kedah itu turut memanggil semula penjaga gol berpengalaman Khairul Fahmi Che Mat yang telah lama tidak me­nyarung jersi Harimau Malaya.

Malaysia akan menentang Mongolia dalam perlawanan persahabatan kelas A di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada 22 Mac ini dan perlawanan itu merupakan kali pertama bekas jurulatih Kedah itu membimbing skuad negara dalam perlawanan.

Perlawanan kompetitif pertamanya sejak dilantik menggantikan Nelo Vingada pada 7 Disember lalu pula hadir tiga hari kemudian apabila Malaysia menentang Lebanon dalam perlawanan terakhir Kumpulan B Kelayakan Piala Asia 2019 di Beirut.

Untuk tugas pertamanya ini, Cheng Hoe ingin memberi kepercayaan kepada pemain muda apabila memanggil Haziq Nadzli, Akhyar Rashid, Syazwan Andik Ishak, Irfan Zakaria, Matthew Davies, Syahmi Safari, Safawi Rasid, Nor Azam Abdul Azih dan kapten Adam Nor Azlin.

Cheng Hoe turut memanggil tiga pemain berdarah campuran daripada Johor Darul Ta’zim (JDT) iaitu Natxo Insa, La’Vere Corbin-Ong dan Darren Lok, A­riff Farhan Md. Isa (Kedah) serta kapten Sabah, Rawilson Batuil.

Hanya 14 pemain dikekalkan daripada skuad Harimau Malaya yang ke Buriram, Thailand bagi dua perlawanan Kelayakan Piala Asia 2019 bertemu Korea Utara pada 10 dan 13 November lalu yang mana kedua-dua pertemuan tersebut berkesudahan Malaysia tewas 4-1.

Malaysia telah pun tersingkir daripada persaingan untuk ke Piala Asia 2019 setelah hanya berada di anak tangga keempat kumpulan dengan satu mata ketika ini, di belakang Hong Kong di tempat ketiga dengan lima mata. Lebanon mengungguli carta kumpulan dengan 13 mata sambil diekori Korea Utara di anak tangga kedua dengan lapan mata.