Pengumuman itu dilakukan oleh Setiausaha Agung FAM, Datuk Hamidin Mohd. Amin menerusi akaun Facebook rasmi badan induk itu malam ini sekali gus menamatkan tanda tanya siapa bakal membimbing Harimau Malaya selepas Vingada melepaskan jawatan semalam.

Cheng Hoe, yang sebelum ini menggalas tugas sebagai penolong ketua jurulatih, bakal membimbing Harimau Maya untuk menentang Lebanon dalam aksi terakhir Kumpulan B Kelayakan Piala Asia 2019 pada Mac 2018.

“Kami ingin mengucapkan tahniah kepada Tan Cheng Hoe atas pelantikan beliau sebagai ketua jurulatih Harimau Malaya yang baharu,” kata Hamidin dalam kenyataan itu.

Pelantikan Cheng Hoe itu bermakna jawatan penolong ketua jurulatih kini kosong manakala kedudukan Azmin Azram Abdul Aziz sebagai jurulatih penjaga gol dikekalkan oleh FAM.

Semalam, Vingada mengumumkan peletakan jawatan sebagai ketua jurulatih Harimau Malaya atas faktor bertanggungjawab dengan prestasi buruk skuad kebangsaan.

Cheng Hoe mempunyai pengalaman luas bersama skuad kebangsaan kerana dia juga pernah menjadi pembantu kepada bekas ketua jurulatih Datuk K. Rajagobal semasa menjulang Piala AFF Suzuki 2010.

Selain itu, Cheng Hoe mempunyai rekod cemerlang ketika membimbing Kedah apabila berjaya membantu Lang Merah meraih kejuaraan Piala Malaysia musim lalu.

Cheng Hoe yang dihubungi Utusan Malaysia berkata, dia akan memanfaatkan kepercayaan diberikan oleh Presiden FAM, Tunku Ismail Sultan Ibrahim dengan sebaiknya dalam membimbing skuad Harimau Malaya.

“Saya menjunjung kasih ke atas Tunku Presiden FAM kerana memberikan peluang kepada saya mengendalikan Harimau Malaya.

“Bagi saya ini adalah suatu tugas dan tanggungjawab besar yang harus dijalankan dengan sebaiknya. Dalam masa sama saya berharap penyokong bersabar dan memberikan peluang kepada saya untuk menjalankan tugas baharu ini.

“Pengalaman yang saya ada sebelum ini sebagai penolong jurulatih akan saya gunakan sebaiknya untuk membimbing skuad kebangsaan terutama dalam menyediakan pemain untuk perlawanan menentang Lebanon nanti,” katanya.

Dalam pada itu, Hamidin turut mengucapkan terima kasih kepada Vingada di atas sumbangan dan khidmatnya bersama dua pembantu, Joao Arnaldo Correia De Carvalho dan Francisco Jose Bruto Da Costa sepanjang mereka mengendalikan Harimau Malaya bermula Mei lalu.