Tambahnya, peluang beraksi di pentas final bukan sesuatu yang mudah, pasukannya perlu menempuh laluan sukar, malah pemilihan pemain sebelum ini turut dipertikaikan segelintir pihak.

Bekas jurulatih Kedah itu, mengakui motivasi dan keyakinan pemain kini berada di tahap terbaik dan bersedia berdepan Vietnam di pentas final nanti.

“Saya tiada rahsia atau ramuan istimewa. Paling penting pemain yang saya pilih merupakan individu yang betul-betul nak main untuk negara, selain kekuatan dan kebolehan mereka.

“Setiap perlawanan pemain mempamerkan peningkatan. Dalam pasukan juga cukup harmoni, semua menunjukkan disiplin tinggi dan sikap tidak pernah putus asa.

“Ya peluang ini (beraksi di pentas final) tidak boleh dilepaskan. Sesiapa yang layak mempunyai impian bergelar juara, siapapun lawan, kami bersedia berdepan dan saya lihat motivasi serta momemtum pemain berada di tahap terbaik apatah lagi selepas mengetepikan juara bertahan, Thailand,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Harimau Malaya melangkah ke final Piala AFF 2018 selepas berjaya mengejutkan juara lima kali, Thailand di Stadium Rajamangala dengan keputusan 2-2 dalam separuh akhir kedua yang sekali gus menyaksikan Malaysia mara menerusi peraturan jaringan tempat lawan. Dalam timbal balik pertama, kedua-dua pasukan diikat tanpa jaringan.

Sementara itu, Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin mengakui ini adalah detik terbaik buat pemain menempa satu lagi sejarah dalam bola sepak negara selepas dikecewakan di pentas akhir, empat tahun lalu.

“Tiada pilihan lain kecuali membawa pulang Piala AFF ke Malaysia!. Syukur kerana kita berjaya melangkah ke final, namun, perlawanan akhir nanti adalah fasa yang jauh berbeza dan mereka perlu terus kekal fokus untuk aksi tersebut.

“Kita memasuki pertandingan ini dengan matlamat, jadi bagi saya, tidak ada harumnya kalau gagal menjadi juara edisi kali ini. Ini juga peluang terbaik untuk pemain mencipta satu lagi sejarah,” katanya.

Perlawanan akhir pertama akan diadalan di Malaysia, 11 Disember ini, sebelum final kedua di Hanoi pada 15 Disember.