Cheng Hoe, 49, yang memikul tugas mencabar untuk menamatkan kemarau kemenangan yang dialami Harimau Malaya setelah mengharungi 10 perlawanan, meminta anak didiknya supaya berjuang sebagai satu pasukan bagi menjamin kemenangan apabila bertemu Mongolia pada perlawanan persahabatan antarabangsa Kelas A di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam esok.

Bekas jurulatih Kedah itu juga menasihati barisan pemain Harimau Malaya supaya tidak berasa tertekan, tetapi sebaliknya memberi tumpuan 100 peratus untuk mengembalikan pasukan kebangsaan ke landasan kemenangan serta meningkatkan kedudukan pasukan negara yang berada di tangga paling bawah iaitu 178 ketika ini.

"Walaupun mereka bukan pemain bola sepak sepenuh masa, tetapi berdasarkan sejarah dan DNA mereka, para pemain Mongolia bersemangat tinggi dan pasti berazam untuk memberi cabaran sengit kepada kita. Walaupun tiada banyak info mengenai pasukan ini, kita mendapat tahu bahawa mereka ada perancangan 10 tahun untuk membangunkan permainan bola sepak.

"Ini aksi pertama kita bagi tahun 2018, jadi saya nak pemain-pemain datang dengan mindset positif, bermain dengan yakin dan bersemangat tinggi sebagai satu pasukan. Sudah pasti kita boleh catat keputusan yang positif," katanya pada sidang akhbar praperlawanan di Wisma FAM di sini hari ini.

Menyentuh tentang perkembangan terkini pasukan itu, Cheng Hoe mengesahkan pemain pertahanan Kiko Insa kini kembali menjalani latihan setelah diketepikan kerana mengalami jangkitan mata.

Kali terakhir skuad Harimau Malaya mengecapi kemenangan ialah ketika menentang Kemboja pada Kejohanan Piala AFF 2016 dengan keputusan 3-2.

Cheng Hoe, yang berkhidmat sebagai penolong kepada jurulatih dari Portugal, Nelo Vingada, mengambil alih tugas membimbing skuad Harimau Malaya pada Disember tahun lepas apabila Vingada meletak jawatan berikutan prestasi buruk pasukan itu, termasuk kekalahan 4-1 kepada Korea Utara.

Sementara itu, ketua jurulatih Mongolia Michael Weiss berkata pasukannya, yang dibarisi pemain berusia bawah 25 tahun, akan memberi tentangan sengit kepada pasukan tuan rumah.

"Kami tidak sempat membuat banyak persiapan, hanya memulakannya pada Februari, diikuti kem latihan selama dua minggu di China. Kami juga kehilangan beberapa pemain, tetapi kami sedang membina sebuah pasukan kukuh untuk masa depan," kata jurulatih dari Jerman itu, yang pernah membimbing pasukan Filipina.

Selepas bertemu Mongolia, Harimau Malaya akan ke Beirut untuk menentang skuad Lubnan pada 27 Mac dalam perlawanan Kumpulan B Pusingan Kelayakan Piala Asia 2019. - BERNAMA