Pelantikan bekas pengendali Kedah itu diumumkan Setiausaha Agung FAM, Datuk Hamidin Mohd. Amin dalam satu kenyataan akhbar di sini, hari ini.

“Kami ingin mengucapkan tahniah kepada Tan Cheng Hoe atas pelantikan beliau menjadi Ketua Jurulatih Harimau Malaya yang baharu,” kata Hamidin.

Cheng Hoe, 46, dianggap antara jurulatih tempatan terbaik ketika ini, justeru tidak hairanlah apabila ramai penyokong Kedah kecewa apabila dia meninggalkan skuad Lang Merah untuk menerima jawatan penolong jurulatih kebangsaan pada awal tahun ini.

Beliau sebelum ini pernah menggalas tanggungjawab penolong jurulatih skuad kebangsaan di bawah Datuk K. Rajagobal dari 2009 hingga 2013.

Semalam, Vingada yang terkenal dengan julukan ‘The Professor’ mengumumkan peletakan jawatan sebagai ketua jurulatih hanya selepas enam bulan membimbing Harimau Malaya kerana bertanggungjawab atas kegagalan meraih sebarang kemenangan dalam tujuh perlawanan.

Malaysia juga gagal melayakkan diri ke Piala Asia 2019 selepas dibelasah 4-1 oleh Korea Utara dalam dua aksi kelayakan di Buriram, Thailand, bulan lalu, sekali gus menyebabkan dia berdepan pelbagai desakan supaya berundur.

“Selepas mengadakan perbincangan dengan Tunku Ismail Sultan Ibrahim selaku Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia, saya dengan ini bertanggungjawab di atas prestasi pasukan kebangsaan.

“Atas rasa tanggungjawab dengan apa yang berlaku, saya mengumumkan melepaskan jawatan sebagai ketua jurulatih kebangsaan berkuat kuasa serta-merta dan presiden sendiri turut menerima keputusan ini,” katanya menerusi satu kenyataan, semalam. - UTUSAN ONLINE