Malah jurulatih dari Itali itu menegaskan bahawa tidurnya akan tetap lena walaupun kekalahan itu menyebabkan dia berdepan dengan kemungkinan hilang pekerjaan.

“Satu lagi hari perlu diharungi esok. Saya mungkin sahaja masih bergelar jurulatih Chelsea ataupun tidak. Apa masalahnya? Saya tidur seperti biasa tanpa masalah,” katanya kepada pemberita selepas skuad bimbi­ngannya yang terpaksa beraksi dengan 10 pemain dibelasah 1-4 oleh Watford, dengan tiga gol dijaringkan pada penghujung permainan.

Sebaik sahaja Tiemoue Bakayoko dibuang padang hanya setengah jam selepas perlawanan bermula, Blues dibolosi menerusi penalti Troy Deeney sebelum rehat babak pertama. Eden Hazard menyamakan kedudukan pada minit ke-82, namun pintu gol Chelsea bocor lagi hasil jaringan Daryl Janmaat, Gerard Deulofeu dan Roberto Pereyra.

Berbeza dengan musim pertamanya di London, apabila Chelsea merangkul gelaran, pasukan Conte kini berada 19 mata di belakang pendahulu Manchester City dan hanya kurang satu mata untuk tersingkir daripada kelompok empat terbaik yang merupakan slot kelayakan ke Liga Juara-juara.

Kelab tersebut yang sebelum ini sentiasa kelihatan stabil dengan pengurus datang dan pergi sejak Roman Abramovich mengambil alih selaku pemilik di Stamford Bridge pada 2003, Conte sedar kedudukannya semakin tidak selamat, tetapi katanya dia akan bekerja keras untuk mengubah keadaan tersebut.

Warga Itali itu telah dipanggil oleh Lembaga Pengarah Chelsea untuk menamatkan ketidakpastian tentang masa depannya, diusahakan pengurus itu, tetapi bagi mendapatkan undian kepercayaan merupakan satu perkara yang jarang berlaku di Stamford Bridge.

Conte berulang kali bercakap secara terbuka tentang kekecewaannya terhadap kegagalan Chelsea menyaingi kelab Manchester, City serta United yang berjaya menandatangi pemain-pemain ternama sebelum musim bermula.

“Saya cuba memberi amaran kepada semua orang tentang kesukaran laluan kami dalam Liga Perdana dan juga Liga Juara-juara,” kata Conte, yang skuad bimbingannya bakal berdepan cabaran getir dalam peringkat 16 terbaik menentang Barcelona di pentas Eropah hujung bulan ini.

Bagaimanapun, Conte sedia menggalas tanggungjawab di atas kemerosotan prestasi yang menyaksikan Chelsea tumpas 0-3 kepada Bournemouth di laman sendiri minggu lalu, sebelum tewas pada perlawanan hari ini

“Persembahan sangat teruk dan saya perlu memikul tanggungjawab ini,” katanya. – REUTERS