Maurizio Sarri yang tiba dari Napoli bagi menggantikan Antonio Conte bakal membimbing juara Piala FA, Chelsea tanpa bintang Piala Dunia seperti Eden Hazard, Olivier Giroud, N’Golo Kante, Thibaut Courtois, Gary Cahill dan Michy Batshuayi.

City yang turun sebagai juara Liga Perdana pula memburu Perisai Komuniti kelima tanpa Raheem Sterling dan Kevin de Bryune, namun dijangka menurunkan bintang tengah yang baru dibeli daripada Leicester City, Riyadh Mahrez.

Pengendali City, Pep Guardiola mengakui, tidak sabar untuk belajar memahami taktik dan strategi pengendali Sarri yang bakal berdepan ujian besar pertamanya.

“Saya tidak sabar untuk bertembung dengannya, malah gembira ada orang hebat sepertinya berada Liga Perdana Inggeris. Saya akan cuba belajar mengenali pendekatan yang digunakan setiap minggu.

“Saya akui dia lain daripada lain. Baru tiga perlawanan dikendalikan (pramusim), Mourizio sudah dapat apa yang dimahukan dalam jangka masa pendek. Jadi saya jangka perlawanan esok pasti menarik,” kata Guardiola.

Tambah memeningkan Sarri, 59, apabila Cesc Fabregas juga dikatakan dalam dilema kerana menghadapi kecederaan lutut, sekali gus memaksanya bergantung kepada pemain-pemain muda.

"Perlawanan itu sangat sukar bagi kami kerana satu sebab...Mereka (City) sudah dua tahun bersama sedangkan kami baru dua setengah minggu berkerjasama.

“Saya memang mahu menang kerana penting untuk meraih trofi segera tetapi ketika ini yang lebih penting adalah prestasi pasukan,” kata Sarri yang turut dihantui dengan spekulasi perpindahan Courtois, Willian dan Hazard.

Selepas aksi Perisai Komuniti, City bakal bertemu Arsenal dalam aksi pembukaan Liga Perdana pada 12 Ogos ini, manakala Chelsea berdepan Huddersfield sehari selepas itu. – AFP