Pengendali dari Itali itu dikatakan mampu menghisap 80 batang rokok sehari, lapor salah seorang teman rapatnya.

Dalam tempoh 45 minit, apatah lagi 90 minit, tanpa hembusan asap rokok merupakan ujian sebenar bagi pengendali itu, yang terkenal dengan tabiat buruk tersebut sejak hari pertama bersama Napoli.

Undang-undang di United Kingdom tidak membenarkan merokok di padang, jadi Chelsea mendapat tugasan baharu apabila perlu mencari kawasan merokok untuk Sarri mengambil nikotin itu.

Bagaimanapun ia bukan masalah utama Sarri, sebaliknya pengendali itu kini pening dalam usaha membangkitkan kembali prestasi pasukannya untuk mengharungi musim baharu.

“Beberapa tahun lalu, saya perlukan tempoh yang sangat panjang. Di Napoli kami bergelut pada tiga perlawanan pertama, namun selepas itu kami meraih keputusan positif.

“Saya harap Chelsea dapat bangkit semula dan tempoh ini dapat dipendekkan. Saya harap semua pemain dapat memberikan kerjasama,” ujarnya.- AGENSI