Berusia 35 tahun, Cech yang dilahirkan di Pilsen, Republik Czech mampu bermain dram setanding pemuzik profesional, malah dia menggunakan alatan berkenaan untuk menjadikannya lebih tangkas sebagai penjaga gol.

Kata Cech, minatnya bermain dram bermula pada 2014 ketika sedang bermain permainan vi­deo PlayStation ‘Rock Band’ bersama bekas penjaga gol Chelsea, Carlo Cudicini dan selepas itu keinginannya untuk mencuba dram sebenar membuak-buak.

Penjaga gol itu menjadikan pemain dram kumpulan Queen, Roger Taylor sebagai idola dan lebih menariknya, Cech sebelum ini tidak pernah tahu bermain dram.

Namun, latihan berterusan sejak November 2014 sehingga kini membolehkannya memainkan alatan muzik itu dengan baik terutama apabila melibatkan muzik Rock.

Bakat Cech bermain dram boleh dilihat di YouTube kerana pemain itu sering memuat naik lagu-lagu yang dimainkannya, malah pernah dicabar oleh rakan-rakannya untuk memainkan lagu Toxicity daripada kumpulan System of a Down dan dia menyahutnya tanpa sebarang masalah.

Antara lagu yang sering dimainkan oleh Cech ialah In Bloom (Nirvana), Walk (Foo Fighters) serta Cheers (Rihanna).

Menurut Cech, sejak dia bermain dram, prestasinya sebagai penjaga gol semakin baik dan bercadang untuk terus aktif bermain alatan muzik tersebut.

“Apabila anda bermain dram, anda menggunakan mata, ta­ngan dan kaki untuk memastikan muzik anda menjadi lebih baik.

“Bermain dram ini boleh dijadikan latihan buat saya untuk memastikan gerakan saya ketika di atas padang sentiasa pantas.

“Saya juga menjadikan ia sebagai rutin dalam struktur baharu latihan saya dan ia membuatkan saya lebih tenang selain dapat menghilangkan tekanan.

“Kebiasaannya saya akan ber­ada di studio dengan memainkan dua hingga tiga lagu dan selepas itu berjalan keluar seperti seorang yang amat hebat,” kata Cech.

Selain mampu bermain dram dengan baik, Cech juga mempunyai ‘rahsia’ lain yang tidak ramai mengetahuinya.

Dia merupakan kembar tiga dan dilahirkan bersama kembar perempuan iaitu Sarka dan Michal (lelaki) pada 20 Mei, 1982. Bagaimanapun, Michal meninggal dunia di hospital pada usia dua tahun.

Pada 14 Oktober, 2006, Cech berdepan pengalaman ‘di ambang maut’ di Stadium Madej­ski selepas berlaga de­ngan pemain te­ngah Reading, Stephen Hunt ketika ber­aksi buat Chelsea.

Lutut kanan Hunt terhentak kepala Cech, menyebabkan penjaga gol itu terba­ring.

Cech dibawa ke­luar beberapa minit kemudian, sebelum ti­dak sedar diri. Selepas men­jalani pembedahan, tulang ke­palanya disahkan retak dan doktor memberitahu, insiden itu hampir meragut nyawa pemain tersebut.