Campbell, 43, yang menghabiskan sebahagian besar kariernya bersama Tottenham dan Arsenal, sebelum menamatkan karier di Newcastle mengakui, dia berminat untuk beralih arah kepada karier kejurulatihan dan menyasarkan negara Asia bagi mencari pengalaman pertama.

“Pastinya saya berminat untuk menjadi jurulatih pada masa akan datang, mungkin memulakan karier itu dengan membimbing negara-negara di Asia.

“Mungkin jurulatih atau penasihat bola sepak di Malaysia juga apa salahnya. Ia meluaskan lagi pilihan saya,” katanya kepada Utusan Online dalam sesi soal jawab bersama media di Sunway Velocity Mall hari ini.

Campbell turut memberi pandangan mengenai sasaran yang diletakkan oleh Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin untuk menyaksikan Malaysia beraksi dalam Piala Dunia 2050 dengan menganggap ia sebagai sesuatu yang realistik.

Tambahnya, sekiranya sasaran itu mahu direalisasikan oleh Malaysia maka pembangunan dan persediaan yang rapi perlu dilakukan bermula sekarang.

“Tumpuan harus diberikan di peringkat akar umbi bagi membentuk sebuah pasukan yang mampu membawa cabaran Malaysia ke peringkat tertinggi itu.

“Saya tidak melihat perkara itu tidak mampu dicapai mungkin mampu dicapai dengan lebih cepat daripada tempoh yang ditetapkan. Ya..Ia realistik kerana untuk mencapai ke tahap tertinggi itu, persiapan dan perancangan yang terbaik perlu dilakukan dengan teliti,” jelasnya.

Hari ini, bola sepak negara dikejutkan dengan pengumuman Ketua Jurulatih Harimau Malaya, Nelo Vingada hanya selepas enam bulan membimbing skuad kebangsaan. - UTUSAN ONLINE