Ibrahim Saad Bekas Setiausaha Agung FAM
Ibrahim Saad Bekas Setiausaha Agung FAM

Katanya, setiap calon yang bertanding tidak perlu beremosi sebaliknya perlu menjaga pera­saan calon-calon lain selain menjadikan pertandingan itu sebagai platform untuk menambah baik sukan bola sepak negara secara menyeluruh.

“Kita seharusnya menjaga pera­saan sesiapa sahaja yang bertanding dalam pemilihan ini, pendekatan berhemah seharusnya digunakan dalam keadaan seperti ini.

“Bagi saya, kita tidak perlu nak kritik orang macam-macam, kena jaga perasaan mereka dan tatater­tib kita selaku calon selain perlu menjaga persaudaraan kerana kita adalah sebuah keluarga.

“Memang sukan bola sepak adalah sukan yang penuh emosi, kalau penyokong memang ada yang merusuh apabila pasukan mereka kalah tetapi sebagai calon (barisan kepemimpinan FAM) kita tidak boleh beremosi sebaliknya jadikan pertandingan ini ruang untuk memberikan kebaikan,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri Modul Umum Latihan Sukarelawan Kuala Lumpur 2017, di Universiti Kebangsaan Malaysia, dekat sini hari ini.

Pemilihan FAM ke-53 pada 25 Mac ini menyaksikan pertemuan satu lawan satu di antara Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibarhim dan bekas Presiden Persatuan Bolasepak Kelantan, Tan Sri Annuar Musa untuk merebut kerusi No.1 badan induk itu.

Selain itu, akan turut berlangsung pertandingan empat penjuru bagi jawatan Timbalan Presiden manakala sembilan calon akan bertanding merebut jawatan Naib Presiden bersama 17 calon Exco (lelaki) dan tujuh calon Exco (wanita).

Mengulas mengenai pertembungan di antara Tunku Ismail dan Annuar, Ibrahim berkata ke­dua-dua calon memiliki kelebihan tersendiri dan semua pihak harus melihat perkara itu secara menyeluruh bukan hanya dari sebelah pihak sahaja.