Jurulatih dari Argentina itu sebaliknya berkata, dia belum bersetuju untuk mengisi kekosongan Datuk Ong Kim Swee kerana FAM telah menukar rundingan asal yang sudah dipersetujui dengan mengurangkan tawaran kontrak daripada dua tahun kepada setahun.

“Saya tidak pernah meminta bayaran yang lebih tinggi daripada yang diterima ketika mengendali JDT, kenyataan itu adalah satu pembohongan.

“Sebelum ini, mereka menawarkan saya kontrak selama dua tahun untuk membimbing Harimau Malaya dengan gaji yang memuaskan.

“Walaupun bayaran tersebut kurang daripada apa yang saya terima di JDT namun saya tetap bersetuju.

“Kini mereka menawarkan gaji yang lebih rendah dengan tempoh kontrak selama setahun sahaja.

“Mereka ubah perkara yang kami bincangkan 50 hari yang lalu dan sebab itu saya tidak bersetuju dengan tawaran tersebut,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia hari ini.

Dalam pertemuan dengan wakil media semalam, Tunku Ismail memaklumkan Gomez belum pasti melatih Harimau Malaya dan rundingan masih berjalan untuk mendapatkan khidmatnya.

Gomez, 60, memberitahu, dia sudah menghubungi Tunku Ismail setelah isu mengenainya meminta bayaran yang tinggi disiarkan di beberapa laman sesawang bola sepak.

“Beliau (Tunku Ismail) menawarkan saya kenaikan gaji sebanyak lapan peratus berbanding tawaran asal.

“Saya bersetuju dengan tawaran ini dan beliau membalas akan menyemaknya terlebih dahulu,” katanya lagi.